Undi percaya wajar, muktamad keabsahan Anwar sebagai PM

Amirudin - Foto Bernama
Amirudin - Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Pembentangan usul undi percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Persidangan Parlimen ke-15, 19 Disember ini adalah wajar bagi memastikan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri dapat dimuktamadkan.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu juga adalah bagi mengelakkan daripada pertikaian berterusan pihak tertentu seperti yang pernah dihadapi di dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.

"Namun jika ia (undi percaya) tiada, kita masih perlu membentangkan belanjawan dan belanjawan itu sendiri juga boleh dianggap sebagai undi percaya,” katanya kepada pemberita, di sini, pada Ahad.

Menteri Besar Selangor itu berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan MASISWA Networking Games 2022 di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), di sini.

Anwar, dalam sidang media sulung selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10, Khamis lalu berkata, sidang pertama Dewan Rakyat pada 19 Disember ini ditetapkan untuk dikemukakan usul undi percaya terhadapnya sebagai Perdana Menteri.

Katanya, langkah itu bertujuan apabila ada pihak mempertikai kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri sekali gus dilihat menjejaskan kestabilan kerajaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!