Salah penasihat, rosak negara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MENASIHATI dan menegur adalah perbuatan yang sangat baik serta amat dianjurkan oleh Islam dan sebagai manusia sememangnya kita perlu mendapat nasihat bagi membantu membuat keputusan yang tepat.

Seseorang pemimpin juga tidak terkecuali daripada mendapatkan nasihat dan pandangan terutamanya dari segi ekonomi, undang-undang, kesihatan dan agama agar keputusan yang diambil bebas daripada sebarang kesilapan dan kelemahan.

Justeru, mempunyai seorang penasihat yang bukan sahaja pengalaman, malah berpengetahuan luas tentunya dapat membantu seseorang pemimpin itu termasuk perdana menteri memperoleh maklumat yang dapat membantunya membuat keputusan yang wajar.

Begitupun, seandainya seseorang pemimpin itu mendapatkan nasihat daripada penasihat yang mempunyai niat jahat atau agenda tersendiri, tentunya kesan buruk boleh terjadi yang akhirnya bukan sahaja memakan diri, malah boleh merosakkan sesebuah negara.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi Facebooknya pada Ahad, menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berhati-hati dengan penasihat yang jahat (bitanah al-su’).

Ini kerana menurut Zulkifli, golongan berkenaan mampu menaikkan serta menjatuhkan Perdana Menteri itu.

Tambah Dr Zulkifli lagi, sebagaimana Perdana Menteri sebelumnya, bermula dengan Datuk Seri Najib Razak, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau juga telah menyampaikan nasihat yang sesuai kepada mereka dari semasa ke semasa untuk pedoman.

Titip pesanan beliau melalui sabda Rasulullah SAW:

Artikel Berkaitan:

“Apabila ALLAH menghendaki kebaikan bagi pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu yang benar dan ikhlas.

“Jika pemimpin itu lupa atau leka, nescaya diberikan peringatan. Jika pemimpin itu mengingati, nescaya akan diberikan pertolongan kepadanya.

“Sebaliknya jika ALLAH menghendaki selain daripadanya (keburukan) kepada pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu yang jahat. Jika pemimpin itu lupa dan lalai, nescaya tidak diberikan peringatan, dan jika dia mengingati, nescaya tidak akan diberikan pertolongan kepadanya.” (Riwayat Abu Dawud 2932)

Pentingnya mempunyai penasihat yang baik dan berguna telah lama diingatkan oleh seniman agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi filem arahan dan lokonannya, Tiga Abdul.

Dalam filem ini, hartawan yang sangat kaya, Sadiq Segaraga yang berasa susah hati apabila perniagaannya semakin merosot selain dibebani hutang yang banyak telah mendapatkan nasihat daripada Tuan Penasihat Kassim Patalon menngenai cara-cara untuk memulihkan perniagaannya.

Kassim Patalon kemudian mencadangkan agar Sadiq Segaraga mengahwinkan ketiga-tiga anak perempuannya dengan tiga anak lelaki Ismet Ulam Raja yang baru memperoleh harta pusaka selepas kematian bapa mereka.

Bagi membolot harta milik Ismet Ulam Raja, atas nasihat Kassim Patalon, Sadiq Segaraga telah menetapkan syarat agar dua menantunya, Abdul Wahab dan Abdul Wahib tidak boleh marah atau harta mereka akan dirampas dan kedua-duanya pula dilelong sebagai hamba.

Sebagai habuan atas nasihat jahatnya ini, Tuah Penasihat Kassim Patalon akan menerima komisen 20 peratus.

Bagaimanapun, nasihat ini akhirnya memakan diri apabila keseluruhan harta Sadiq Segaraga dirampas dan dia serta tuan penasihatnya dilelong sebagai hamba setelah Abdul Wahub lakonan P Ramlee mengenakan syarat serupa.

Walaupun telah lebih 58 tahun ditayangkan, pemimpin yang dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih boleh mempelajari sesuatu daripada filem ini iaitu pentingnya memilih penasihat yang dapat memberi nasihat yang baik serta berguna dan bukannya akan memusnahkan kita di kemudian hari.

*Nilam Nur Atikah Oshman ialah Wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!