Isu capal, Anwar tak terkesan pun...
SELAMA 24 tahun mengharungi perjalanan kejatuhan politik, dipecat jawatan, didapati bersalah hinggakan meringkuk ke penjara selama lebih kurang 11 tahun, bukan mudah dilalui buat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya.
Malahan juga pernah berdepan dengan insiden mata lebam pada 1998, noktah hitam dalam perjuangan beliau dan akhirnya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Khamis lalu.
Beliau juga yang membuat gelombang reformasi terus marak hingga hari ini dan sosok tubuh ini juga pernah dijulang setinggi-tinggi dan pernah dipijak serendah-rendahnya.
Hari kedua menjadi perdana menteri, beliau tampil dengan imej ringkas berbaju Melayu rona putih dengan capal untuk ke pejabat bagi tugasan pertama memegang tampuk kerajaan.
Sesuai dengan hari Jumaat, penampilan beliau bercapal itu mendapat reaksi jabatan netizen dan warganet yang mempertikaikan kod etika pemakaian yang dikenakan Anwar pada pagi itu.
Namun, perkara itu berdasarkan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1985. Pada para 2.1.6 menyatakan, capal boleh dipakai dengan pakaian baju Melayu yang lengkap dengan bersamping.
Jadi boleh tutup kes, cuma pada Merak Jalanan, cukup-cukuplah melihat benda-benda kecil sebegini kepada Anwar kerana beliau telah menghadapi tekanan yang lebih besar sebelum ini.
Jauh sekali Merak Jalanan nak halang warganet bersuara tetapi kita perlu kritik perkara yang lebih besar, cukup-cukuplah ulas isu remeh seperti ini.
Warganet perlu berjiwa lebih besar dengan menegur dan mengimbang kerajaan menggunakan kaedah atau platform sendiri.
Jika ada salah guna kuasa dalam kerajaan, kesempitan hidup, keciciran dan juga aspek pendidikan yang perlu kita desak kerajaan.
Kalau berkain pelekat sekali pun, negara terus cemerlang, apa salahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!