Anwar terima kunjungan Sultan Brunei hari ini
PUTRAJAYA - Malaysia dan Brunei Darussalam akan menilai kemajuan kerjasama sedia ada di samping meneroka potensi baharu bagi meningkatkan hubungan serta kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, perkara tersebut akan direalisasikan sempena Lawatan Khas Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah ke Malaysia pada Isnin
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menerima keberangkatan Sultan Hassanal Bolkiah, julung kali selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November lepas.
Lawatan terakhir Sultan Hassanal Bolkiah ke Kuala Lumpur adalah pada 4 hingga 6 Mac 2019 untuk menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-22 antara Malaysia dan Brunei Darussalam.
"Malaysia dan Brunei Darussalam mempunyai hubungan istimewa yang telah lama terjalin melalui persamaan warisan, budaya dan hubungan sesama insan," menurut kenyataan itu.
Selain itu, Anwar akan turut meraikan Sultan Hassanal Bolkiah, Pengiran Muda 'Abdul Mateen Bolkiah serta rombongan dalam satu majlis santapan tengah hari.
Brunei Darussalam merupakan rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia pada 2021 dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM8.03 bilion (AS$1.94 bilion). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!