Remaja lelaki maut tercampak dari jambatan
NILAI - Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas tercampak dari jambatan setelah motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Jalan Besar Nilai-Pajam pada awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, kejadian pada jam 1.57 pagi itu membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah motosikal jenis Honda Wave dengan Proton Inspira.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu kereta dalam perjalanan dari arah Bandar Baru Nilai menghala ke Pajam.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi mangsa dari arah bertentangan masuk ke laluan kereta lalu bertembung menyebabkan remaja itu tercampak dan jatuh dari jambatan di lokasi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Abdul Malik berkata, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan maut di lokasi manakala pemandu kereta seorang lelaki berusia 29 tahun tidak cedera.
"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!