Gakpo fokus Piala Dunia di sebalik spekulasi ke United
PENYERANG Belanda, Cody Gakpo mahu memberi fokus sepenuhnya kepada Piala Dunia Qatar 2022 ketika ini, di sebalik spekulasi perpindahan ke Manchester United.
Pemain berusia 23 tahun itu menyerlah dalam skuad Belanda apabila menjaringkan setiap gol dalam dua perlawanan saingan Kumpulan A.
"Tumpuan saya kini adalah Piala Dunia. Satu perkara bagus untuk mendengar beberapa khabar angin seperti itu tetapi saya cuba memberi tumpuan di sini (Piala Dunia) dan melakukan yang terbaik," katanya.
Bintang PSV Eindhoven itu dilaporkan sudah dilamar pengendali United dari Belanda, Erik ten Hag pada musim rehat lalu sebelum skuad Red Devils mengambil keputusan untuk menandatangani bintang Brazil, Antony dari Ajax.
Media bagaimanapun melaporkan United dijangka kembali berunding untuk mendapatkan khidmat Gakpo pada Januari depan.
Gakpo memulakan awal musim yang baik bersama PSV dan menjadi penjaring terbanyak dengan sembilan gol dalam Liga Belanda.
Dia juga mencatat rekod 12 bantuan gol dalam liga.
Gakpo menjaringkan gol pembukaan Belanda ketika menang 2-0 ke atas Senegal dan meledak satu gol ketika seri 1-1 dengan Ecuador.
"Saya tidak terkejut dengan kemampuan sendiri. Namun saya fikir boleh meningkat dengan lebih baik lagi," katanya.
Belanda akan berdepan tuan rumah Qatar yang sudah tersingkir daripada saingan pentas berprestij itu.
Skuad bimbingan Louis van Gaal itu mahu mengelak daripada kekalahan untuk memastikan tempat dalam kelompok 16 pasukan terbaik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!