Dua PPS kembali dibuka di Raub
KUANTAN - Dua pusat pemindahan sementara (PPS) kembali dibuka di daerah Raub bagi menempatkan 64 mangsa banjir dari Felda Tersang dan Kampung Tersang pada malam Ahad.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Raub, Kapten Pertahanan Awam (PA) Samasuddin Kambade berkata, PPS di Dewan Felda Tersang 1 dibuka jam 7 malam menempatkan 46 mangsa manakala PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tersang dibuka jam 12.15 tengah malam dengan 14 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan itu.
Menurutnya, pihak APM Raub dimaklumkan berhubung kejadian banjir itu jam 7.08 petang sebelum anggota ke lokasi untuk pemantauan dan membantu memindahkan mangsa terlibat.
"Banjir yang melanda kawasan itu berlaku akibat limpahan Sungai Kenong ekoran hujan lebat," katanya.
Samasuddin berkata, agensi lain yang terlibat dalam membantu mangsa terdiri pihak polis, bomba dan penduduk.
"Setakat ini tiada jalan di kawasan itu terputus hubungan," katanya.
Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga jam 9 pagi pada Isnin,semua mangsa masih berada di PPS tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!