Empat kilang terbakar, lima pekerja nyaris rentung
SUBANG JAYA - Lima individu nyaris maut dalam kebakaran melibatkan dua bangunan yang menempatkan kilang memproses santan, dua kilang elektronik dan sebuah pejabat urusan di Taman Perindustrian Puchong di sini pada Ahad.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kesemua mangsa terlibat bagaimanapun sempat diselamatkan.
"Lima mangsa merupakan lelaki warga tempatan berumur antara 20 hingga 30-an itu berada di dalam sebuah kilang yang terbakar ketika kejadian.
"Kesemua mangsa dapat diselamatkan sebelum api marak," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang, Petaling Jaya, Serdang dan Damansara dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan daripada orang awam pada jam 11.20 malam.
"Anggota bomba yang tiba pada jam 11.30 malam di lokasi kejadian kemudiannya menjalankan kerja pemadaman ke atas dua bangunan menempatkan empat buah kilang tersebut.
"Kebakaran melibatkan kemusnahan sebanyak 70 peratus," katanya.
Menurutnya, kesemua mangsa terlibat bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Anggaran kerugian melibatkan empat buah kilang tersebut masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!