Belgium belum pamer karakter sebenar
JURULATIH Belgium, Roberto Martinez mendedahkan punca kekalahan kepada Maghribi 0-2 dalam aksi Kumpulan F Piala Dunia Qatar 2022 pada Ahad disebabkan mereka takut untuk kalah dan tidak mempunyai kualiti dalam serangan.
Martinez sendiri bingung dengan situasi itu, namun mengakui Belgium belum mempamerkan karakter sebenar dan akan membaikinya bagi menghadapi perlawanan akan datang.
"Anda belum menyaksikan Belgium yang sebenar pada Piala Dunia ini.
"Hari ini (Ahad) saya fikir kami bermain dengan kebimbangan untuk kalah. Tanpa bola kami masih bagus tetapi apabila kami mendapat bola, kami tidak menyerlah, kami bukan diri kami yang sebenar. Kami perlu berusaha mengatasinya.
"Kami perlu kekal bersatu dan lebih kuat. Saya amat memahami kelompok pemain ini, kami akan bersedia untuk Croatia (Khamis)," katanya.
Maghribi memperoleh gol pertama menerusi sepakan percuma Abdelhamid Sabiri yang terkena paha Romain Saiss sebelum menerjah penjuru gawang untuk menewaskan penjaga gol, Thibaut Courtois.
Pemain sensasi, Zakaria Aboukhlal menambah derita Belgium menerusi ledakan gol kedua pada masa kecederaan pada aksi yang berlangsung di Stadium Al Thumama itu.
Belgium sebelum ini menang tipis 1-0 ke atas Kanada pada aksi pembukaan kumpulan dan bermain di bawah tahap sebenar sekali lagi apabila mereka tewas kepada pasukan Maghribi di hadapan 43,000 penonton
Perancang utama, Kevin De Bruyne beraksi buruk dan kapten Eden Hazard langsung tidak efektif.
Mereka pada kelazimannya menjadi sandaran pasukan tetapi Martinez enggan untuk menyalahkan individu.
Dalam pada itu pengkritik menyifatkan gol pertama Maghribi berpunca daripada kesilapan kolektif dalam menangani tendangan percuma, namun Martinez menyatakan ia sebaliknya.
"Kami tidak menggunakan peluang dicipta pada babak pertama dan gol pertama Maghribi itu menentukan hala tuju perlawanan hingga ke akhirnya.
"Kami bertahan dengan situasi standard dengan cara yang sama selama enam tahun (sejak mengambil alih pasukan). Jika bola disepak dengan bagus, ia bola yang sukar buat penjaga gol.
"Selepas gol itu, perlawanan bertukar rentak secara drastik dan kami tidak cukup berhati-hati ketika mengawal bola untuk mengatasi Maghribi," ujar Martinez
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!