[VIDEO] Air pasang besar: Tanjung Piai tarik ribuan pengunjung
PONTIAN - Orang ramai tidak melepaskan peluang sempena cuti umum pada Isnin untuk menyaksikan fenomena air pasang besar di Taman Negara Johor Tanjung Piai ( TNJTP).
Air pasang besar yang kebiasaannya berlaku pada Disember di Tanjung Piai yang turut dikenali sebagai titik terselatan di benua Asia itu kini turut berlaku pada November.
Fenomena alam yang bermula pada jam 1 tengah hari itu menyaksikan paras air laut naik setinggi kira-kira 3.4 meter sehingga melimpah masuk ke kawasan taman negara.
Penolong Pengurus TNJTP, Afendi Abdullah berkata, dianggarkan kira-kira 3,000 orang hadir ke TNJTP bagi melihat sendiri fenomena air pasang besar yang bermula sejak Khamis.
"TNJTP merupakan lokasi utama bagi melihat fenomena air pasang besar berlaku dengan keadaan air yang akan menyusuri dan memenuhi kawasan perkarangan pintu masuk.
"Bagaimanapun, kawalan dan pemantauan akan terus dilakukan oleh kakitangan bagi memastikan keselamatan pengunjung," katanya.
Penduduk Kampung Perpat Timbul, Hartini Arifuddin, 27, bersama dua anaknya antara ribuan pengunjung yang tidak melepaskan peluang melihat fenomena terbabit.
“Memandangkan cuti panjang saya bawa anak-anak ke sini sebab lokasinya pun tak jauh dari rumah.
“Memang setiap hujung tahun kami akan ke sini sebab tahu ada air pasang, anak-anak pun suka dapat bermain air,” katanya yang juga suri rumah.
Seorang lagi pengunjung dari Kluang, Irwan Othman, 38, pula mengakui teruja dapat menyaksikan fenomena air pasang besar di TNJTP.
“Taman negara di sini memang terkenal dengan hutan paya bakaunya tetapi lagi istimewa bila hujung tahun kerana pengunjung dapat merasai pengalaman menyaksikan fenomena air pasang besar sekali.
"Sudah banyak kali saya datang ke sini dan setiap kali air pasang besar kanak- kanak paling gembira kerana dapat bermain air," ujarnya.
Bagi Azura Aziz, 36, dari Pekan Serkat pula berpandangan air pasang besar di Tanjung Piai cukup unik dan menjadi tarikan kepada pengunjung dari dalam dan luar Johor.
"Bagi yang pertama kali melihat fenomena air pasang besar di Tanjung Piai, pasti menimbulkan rasa teruja kepada mereka.
"Bagi penduduk tempatan pula terutama kanak- kanak, mereka juga tidak mahu melepaskan peluang untuk datang dan menyaksikan fenomena air pasang besar," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!