'Harga tiket KL-Manila lebih murah berbanding ke Kota Kinabalu'
KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah dirayu mempertimbangkan usaha meringankan beban keluarga penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang kurang berkemampuan dari segi tambang tiket penerbangan bagi yang belajar di Semenanjung untuk pulang ke Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim berkata, harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur secara terus ke Kota Kinabalu dilihat lebih mahal berbanding dari Kuala Lumpur ke Manila, Filipina dan seterusnya ke Kota Kinabalu.
"Saya merayu kepada kerajaan untuk memudahkan mereka pulang ke kampung halaman khususnya ketika musim perayaan dan cuti semester dalam meringankan beban keluarga dari segi tambang penerbangan.
"Saya rasa sudah tiba masanya kerajaan negeri membantu anak-anak kita yang bersekolah di Semenanjung kerana kalau kita lihat apabila saja musim perayaan atau cuti sekolah ketika anak-anak mahu balik kampung bertemu ibu bapa dan keluarga, tambang mahal mendadak naik sehingga RM1,000.
"Lebih baik dari Kuala Lumpur ke Manila, Manila ke Kota Kinabalu lebih murah lagi daripada kapal Semenanjung ke Sabah," katanya dalam ucapan perbahasan Bajet Sabah 2023, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Isnin.
Sehubungan itu, Juil berharap kerajaan dapat membantu dari segi pengurangan harga tambang tiket penerbangan dengan menggunakan pas pelajar yang dimiliki pelajar berkenaan untuk pulang ke Sabah dan sebaliknya.
"Ini adalah satu bebanan kepada anak-anak kita dan juga keluarga yang kurang berkemampuan, jadi kita minta kerajaan negeri kalau dapat supaya ada pengurangan tambang tiket kapal terbang.
"Penuntut ada pas pelajar jadi gunakan pas itu supaya tambang murah diberikan kepada mereka, jangan kita bebankan kepada keluarga yang kurang berkemampuan.
"Bagi rakyat kita di bawah sana, anak-anak mereka yang mahu pulang setahun dua atau tiga kali untuk perayaan dan cuti sekolah ini kita cuba minta kerajaan mempertimbangkan agar semua syarikat penerbangan boleh memberikan sedikit kelonggaran kepada anak-anak yang bersekolah di Semenanjung ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!