Perlu dengar pandangan semua pihak bentuk kabinet: Anwar

Anwar ketika ditemu bual selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, pada Isnin. - Foto Bernama
Anwar ketika ditemu bual selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A
PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan memuktamadkan pembentukan kabinet dengan kadar segera selepas mendengar pandangan semua pihak termasuk parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menjelaskan, pihaknya perlu mengambil sedikit masa susulan pembentukan kabinet dalam kerajaan tersebut akan lebih kecil berbanding pentadbiran terdahulu.

Justeru, beliau memaklumkan, ia perlu dilakukan secara teliti dan pihaknya tidak mahu pembentukan kabinet dilakukan sekadar untuk mengisi kuota.

"Sesegera mungkin (pembentukan kabinet) sebab seperti yang saya sebut, tidak seperti (amalan) biasa, Kerajaan Perpaduan melibatkan banyak parti. Jadi sebelum membuat keputusan, saya mesti dengar semua pandangan dan kemudian masalahnya (saiz) kabinet dikecilkan.

"Kalau dulu masuk sahaja, 50, 60, 70 (menteri), tak cukup lagi (tambah) duta khas, tak cukup lagi (tambah) penasihat khas, (tetapi) saya tak sanggup buat begitu," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH pada Isnin.

Sementara itu, mengulas mengenai pembentangan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 19 Disember ini, Anwar menyifatkan ia penting bagi memuktamadkan keabsahannya dari segi persepsi politik.

“Ya benar, Ram Karpal guna isu pentafsiran Perlembagaan kerana majoriti jelas, tetapi saya juga bincang tadi dan kita berpandangan, bukan saja soal Perlembagaan tetapi saya fikir keabsahan itu dari segi persepsi politik. Jadi kita akan teruskan dengan undi percaya pada 19 Disember ini,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata usul undi tidak percaya kepada Anwar tidak perlu dilaksanakan ekoran sudah jelas Perdana Menteri memperoleh majoriti besar melebihi 140 kerusi.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai pandangan bahawa mereka yang mempunyai kes mahkamah tidak wajar disertakan dalam kabinet, Anwar menegaskan, beliau menghormati pandangan semua pihak.
Artikel Berkaitan:


“Itu pandangan semua, kita ambil kira dalam perbincangan, tetapi seperti mana kita tahu, dari segi undang-undang, hanya setelah ada hukuman. Jadi yang lain itu akan diberi pertimbangan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!