10 sekeluarga terperangkap akibat kepala air

A
A
A

HULU SELANGOR - Seramai enam kanak-kanak dan empat orang dewasa terperangkap di Air Terjun Sungai Pinang, Batang Kali di sini akibat fenomena kepala air pada Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan penyelamat dari Balai Bomba Kuala Kubu masih menjalankan operasi menyelamat 10 sekeluarga berkenaan.

"Sebuah jentera bersama tujuh anggota dan pegawai dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 4.36 petang.

"Mengikut laporan komander operasi, mangsa terdiri daripada empat kanak-kanak lelaki, dua kanak-kanak perempuan dan dua lelaki serta dua wanita dewasa terperangkap di seberang sungai," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Norazam berkata, kesemua mangsa dipercayai satu keluarga yang berasal dari Sungai Buloh itu terperangkap susulan fenomena kepala air yang mengalir dari hulu sungai.

Katanya, setakat ini, kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.

"Mangsa terlibat adalah Jamali Hamzah, 63; Mohd Shahdan, 37;Siti Hajarul Aswa,37;Sameer Imran,11; Fateh Aryan, 9; Zahra Safiyya,7; Siti Zulaikha, 25; Amirul Ashraf, 9;Qalisya Damia, 7; Hafiz Ramadhan, 6.

"Pihak bomba masih berusaha menyelamatkan mangsa. Perkembangan terkini akan dimaklumkan kemudian," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!