Pelajar maut diseret kereta 20 meter

Keadaan motosikal yang terlibat dalam kemalangan terbabit. - Foto ihsan PDRM
Keadaan motosikal yang terlibat dalam kemalangan terbabit. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

MACHANG - Seorang pelajar Tingkatan Lima maut manakala rakannya cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah motosikal di Kilometer 7.9 Jalan Machang-Pasir Puteh di sini, pagi Isnin.

Ketika kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa, Muhammad Nasrie Ghazali, 17, yang membonceng motosikal rakannya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Mohd Zahir Abdullah berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika seorang wanita yang memandu kereta jenis Volkswagen Polo Sedan mahu berhenti di bahu jalan.

Menurutnya, wanita berusia 51 tahun yang juga suri rumah datang dari arah Pasir Puteh untuk membeli sarapan di sebuah kedai berhampiran.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, wanita itu memberikan isyarat lampu ke kiri untuk memberhentikan kenderaan, namun tiba-tiba motosikal yang dibonceng mangsa merempuh belakang kenderaan itu," katanya melalui kenyataan di sini pada Isnin.

Mohd Zahir berkata, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal terjatuh di tengah jalan manakala mangsa yang juga pembonceng terjatuh di hadapan kereta Proton Saga FL dan diseret ke bahu kiri jalan sejauh lebih kurang 20 meter.

Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat.

"Rakan mangsa patah tangan sebelah kiri dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai manakala dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, punca kemalangan berlaku dipercayai disebabkan kecuaian penunggang motosikal yang gagal mengawal kenderaannya sehingga menyebabkan kemalangan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!