Pesawat ringan 'melekat' pada menara pencawang elektrik

Sebuah pesawat ringan tersangkut di menara pencawang menyebabkan gangguan bekalan elektrik besar-besaran di Montgomey County. - Foto Agensi
Sebuah pesawat ringan tersangkut di menara pencawang menyebabkan gangguan bekalan elektrik besar-besaran di Montgomey County. - Foto Agensi
A
A
A

ANNAPOLIS - Sebuah pesawat ringan terhempas dan merempuh menara pencawang elektrik voltan tinggi dalam kejadian di negeri Maryland, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad.

Insiden itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik besar-besaran di Montgomery County.

Ketua Bomba Montgomery County, Scott Goldstein berkata, dua mangsa yang berada dalam pesawat malang itu mengalami kecederaan parah, namun berjaya diselamatkan.

Pesawat itu dilaporkan terhempas dan melekat pada struktur pencawang elektrik itu sekitar jam 5.40 petang (waktu tempatan) dalam keadaan berkabus dan basah.

Sebelum diselamatkan, kedua-dua mangsa tergantung kira-kira 100 kaki di atas pencawang dan situasi itu menyebabkan gangguan elektrik yang menjejaskan lebih 85,000 kediaman dan premis perniagaan.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pesawat enjin tunggal Mooney M20J itu berlepas dari Westchester, New York dan sepatutnya mendarat di Montgomery Airpark berhampiran dengan lokasi nahas.

"Nahas berlaku berhampiran kawasan komersial ketika hujan tetapi punca sebenar masih belum dapat dipastikan," menurut kenyataan FAA. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!