Perancis kekal mentaliti kemenangan berdepan Tunisia
PENYANDANG juara Perancis akan memastikan skuad Les Bleus pada aksi terakhir Kumpulan D Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Education City pada Rabu, dapat mengekalkan mentaliti kemenangan.
Malah jelas pengendali Didier Deschamps, dia juga bersedia merehatkan beberapa pemain tonggak dan memberi minit kepada pemain simpanan dalam perlawanan itu.
Kylian Mbappe dijangka dalam senarai simpanan, namun Deschamps berkemungkinan memberinya minit bermain untuk membantunya menambah tujuh gol - tiga daripadanya dijaringkan di Qatar 2022.
Sementara itu, Deschamps mungkin mahu memberi Jules Kounde masa menyesuaikan diri di posisi bek kanan selepas menggantikan Benjamin Pavard yang mengecewakan semasa berdepan Denmark.
Keputusan terbesar Deschamps ialah sama ada Raphael Varane bermain atau sebaliknya, selepas bek tengah itu kembali daripada kecederaan hamstring untuk permainan kedua dan digantikan separuh masa kedua.
“Saya masih belum bercakap dengan jurulatih mengenainya lagi. Kami akan fikirkan apa yang terbaik untuk pasukan dahulu, kemudian kita akan lihat apa yang terbaik untuk saya.
"Perkara terbaik ialah mendapatkan masa bermain, tetapi kita akan lihat pandangan para jurulatih," kata Varane.
Sementara itu, pemain tengah, Aurelien Tchouameni dan Adrien Rabiot mungkin direhatkan kerana peranan mereka adalah yang paling mencabar secara fizikal dalam sistem Perancis.
Dengan Lucas Hernandez diketepikan daripada kejuaraan berikutan kecederaan serius, abangnya Theo merupakan satu-satunya bek yang masih terdapat dalam skuad itu.
Deschamps juga dijangka memberi slot kepada Eduardo Camavinga selepas pemain Real Madrid itu ditempatkan di sana dalam beberapa perlawanan persahabatan menentang kelab tempatan.
Untuk rekod, Perancis mengesahkan tempat di slot 16 terbaik dengan baki satu perlawanan selepas menang 4-1 ke atas Australia diikuti menang 2-1 ke atas Denmark, dan keputusan seri berdepan Tunisia akan mengekalkan status pendahulu.
Sekiranya Perancis mengakhiri saingan di kedudukan teratas, anak buah Deschamps akan berdepan pasukan yang menduduki tempat kedua Kumpulan C, yang menampilkan Argentina, Arab Saudi, Poland dan Mexico.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!