Misi Sinar Karangkraf Bersama Komuniti diteruskan

Kakitangan Klinik Aranda diketuai Dr Shalini Devi Ramachandran (berdiri, tengah) bergambar beramai-ramai selepas menyerahkan tajaan ubat-ubatan bernilai hampir RM4,000.
Kakitangan Klinik Aranda diketuai Dr Shalini Devi Ramachandran (berdiri, tengah) bergambar beramai-ramai selepas menyerahkan tajaan ubat-ubatan bernilai hampir RM4,000.
A
A
A

KLANG - Misi menerusi Program Sinar Karangkraf Bersama Komuniti bagi membantu mangsa bencana seluruh negara termasuk bencana banjir yang memasuki siri kedua pada tahun ini akan diteruskan.

Ketua Jabatan Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, program itu dijalankan dengan kerjasama rakan korporat antaranya seperti Pharmaniaga Berhad, Pasar Borong GM Klang dan Klinik Aranda Seksyen 25.

"Kali ini kita berada di Kampung Kuantan dan Bukit Kuda. Program Sinar Karangkraf Bersama Komuniti (2.0) ini susulan kejayaan program sama yang diadakan selepas banjir besar tahun lalu.

"Untuk tahun ini kita tumpukan kepada penyediaan kit bantuan bencana dengan menjalinkan kerjasama bersama gabungan penganjur dan rakan kerjasama yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan Kit Bantuan Bencana Sinar Karangkraf di Kampung Kuantan dan Kampung Bukit Kuda di sini.

Nik Justin (duduk, dua dari kanan) dan Hashim (duduk dua kiri) bersama jawatankuasa Pejabat MPKK Kampung Kuantan.
Nik Justin (duduk, dua dari kanan) dan Hashim (duduk dua kiri) bersama jawatankuasa Pejabat MPKK Kampung Kuantan.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kuantan, Hashim Mohd Yunus dan Setiausahanya, Mohd Razif Yaacob.

Nik Justin menambah, gabungan kerjasama itu turut sama menyumbang ubat-ubatan, suplemen dan kelengkapan asas dalam menghadapi bencana termasuk power bank, lampu suluh dan peralatan lain.

Artikel Berkaitan:

"Namun, objektif utamanya bukan sekadar memberikan bantuan sebelum banjir berlaku tetapi kita juga mahu berjumpa terus dengan komuniti setempat secara bersemuka untuk mengetahui permasalahan dan kesiapsagaan mereka dalam menghadapi banjir.

"Untuk tahun ini kita bergerak sebelum banjir berbanding program sebelum ini selepas banjir melanda dan ini adalah satu usaha Sinar Harian untuk terus memperkasakan suara rakyat," katanya.

Nik Justin menyerahkan Kit Bantuan Bencana Sinar Karangkraf kepada salah seorang penerima warga emas, Salleh Mat, 87.
Nik Justin menyerahkan Kit Bantuan Bencana Sinar Karangkraf kepada salah seorang penerima warga emas, Salleh Mat, 87.

Tambahnya, Sinar Harian juga mahu terus menjadi penghubung di antara komuniti dengan MPKK, agensi-agensi yang bertanggung jawab agar dapat meminimum kesan kerosakan berpunca daripada bencana yang melanda.

Sementara itu, rata-rata penduduk ditemui menyifatkan pertembungan hujan lebat dengan fenomena air pasang besar menjadi penyebab utama Kampung Kuantan di sini sering ditenggelami banjir.

Keadaan didakwa menjadi lebih buruk apabila keadaan Sungai Klang yang cetek ditambah dengan sistem perparitan tidak seragam menyebabkan banjir berlaku dan sukar mengalir keluar.

Che Lah (tengah) memaklumkan rumahnya akan dinaiki air paling awal kerana terletak di kawasan paling rendah.
Che Lah (tengah) memaklumkan rumahnya akan dinaiki air paling awal kerana terletak di kawasan paling rendah.

Seorang penduduk, Che Lah Mamat, 61, berkata, rumahnya yang terletak di Lorong Haji Malek akan dinaiki air paling awal kerana terletak di kawasan paling rendah di kampung berkenaan.

Menurutnya, fenomena air pasang berlaku tiga kali sebulan dan ia menjadi lebih buruk sekiranya air pasang besar ketika hujan lebat melanda terutamanya pada musim tengkujuh setiap tahun.

"Kerajaan (Selangor) dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ada kata akan lebar dan dalamkan Sungai Klang, jadi (projek) ini saja sandaran kami," katanya menetap di kampung itu lebih 30 tahun lalu.

Che Lah adalah antara penerima Kit Bantuan Bencana Sinar Karangkraf sempena Program Sinar Karangkraf Bersama Komuniti 2.0 di Kampung Kuantan dan Bukit Kuda di sini.

Rozana (kiri) ketika menerima kunjungan Nik Justin (tengah).
Rozana (kiri) ketika menerima kunjungan Nik Justin (tengah).

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Rozana Wahid, 55, amat menyokong jika kerajaan Selangor menyegerakan rancangan melebar dan mendalamkan Sungai Klang bagi mengurangkan risiko banjir.

"Ia dilihat sebagai satu jalan penyelesaian terbaik untuk mengelak banjir buruk berpunca daripada pertembungan air pasang besar dan hujan lebat di kawasan kampung ini," katanya.

Sementara itu, warga emas, Ibrahim Ghani, 73, bagaimanapun berkata, projek itu akan memakan masa dan dalam tempoh jangka pendek sistem perparitan lama di kampung itu perlu dinaik taraf.

Ibrahim menunjukkan sistem perparitan lama di Kampung Kuantan yang perlu dinaik taraf.
Ibrahim menunjukkan sistem perparitan lama di Kampung Kuantan yang perlu dinaik taraf.

"Masih ada penduduk guna longkang lama (tanah) dan perlu diganti dengan longkang konkrit untuk mudahkan air keluar sebelum projek (lebar dan dalam Sungai Klang) itu siap," katanya.

Pada 1 November lalu, kerajaan Selangor memulakan fasa pertama projek melebar serta mendalamkan Sungai Klang, sebagai salah satu langkah mengelak berulangnya kejadian banjir di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, projek tersebut adalah sebahagian daripada Projek Mitigasi Banjir Jangka Panjang Selangor yang direncanakan sebelum ini.

Menurut Menteri Besar, projek itu melibatkan kos berjumlah RM700 juta dan merangkumi empat blok utama di sepanjang 56 kilometer (km) Sungai Klang dengan mendalamkan sehingga 300 meter.

Hashim (kanan) memberi penerangan ketika membuat tinjauan di tebing Sungai Klang bersama Nik Justin (kiri).
Hashim (kanan) memberi penerangan ketika membuat tinjauan di tebing Sungai Klang bersama Nik Justin (kiri).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!