PM seru penjawat awam bawa perubahan
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar penjawat awam bersama-sama membawa perubahan menyelamatkan negara.
Menurutnya, tahap pencapaian Malaysia pada suatu masa dahulu kini dilihat merosot.
"Ia merosot baik dari segi ekonomi, disiplin, pelanggaran hukum, penyelewengan, rasuah yang ada kaitan dengan kelemahan pimpinan dan penjawat awam," katanya dalam ucapan Majlis Perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, pada Selasa.
Tegas beliau, dalam sejarah negara, kerajaan silih berganti namun penjawat awam adalah sebagai tunggak mentadbir kekal mengangkat sistem dan pentadbiran.
"Tentunya kita tidak boleh mengandaikan keadaan berlaku seperti biasa. Tidak boleh.
"Berubah itu dari segi pimpinan dan kementerian dan jabatan yang harus terima kenyataan supaya saya tidak terlalu runsing menghadapi masalah dalam kalangan penjawat awam," katanya.
Beliau berkata, setiap anggota perkhidmatan awam perlu mempersiapkan diri menghadapi masa depan.
"Jika lihat ada pelanggaran, kecuaian itu sejarah lampau. Saya tidak berminat untuk korek masa silam," katanya.
Dalam ucapannya, Anwar turut mengingatkan sebarang perolehan kelulusan tanpa tender tidak lagi boleh berlaku.
"Tidak boleh lagi mengizinkan berlakunya kebocoran dan rasuah," katanya.
Menurutnya, langkah itu perlu dilakukan di setiap peringkat di semua kementerian, jabatan dan agensi.
"Saya menyeru semua agar marilah kita bertekad untuk menyelamatkan Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!