'Keputusan tidak adil untuk Korea Selatan' - Costa

Para pemain Korea Selatan terpaksa menelan kepahitan kalah kepada Ghana 3-2 dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia Qatar 2022 pada Isnin. - Foto EPA
Para pemain Korea Selatan terpaksa menelan kepahitan kalah kepada Ghana 3-2 dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia Qatar 2022 pada Isnin. - Foto EPA
A
A
A

KOREA Selatan menganggap kekalahan kepada Ghana 3-2 pada Isnin sebagai satu keputusan yang tidak adil buat skuad kimchi itu yang beraksi dengan baik.

Penolong jurulatih Korea Selatan, Sergio Costa berkata, pasukannya mempamerkan aksi mantap sepanjang setengah jam perlawanan dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia Qatar 2022.

"Dalam tempoh 20 minit pertama, kami mampu mengawal perlawanan dengan menguasai bola. Ia sangat bagus.

"Kami membuat hantaran dengan baik dan mengikut strategi seperti dirancang. Selepas gol pertama ia mula berubah sehingga separuh masa. Ketika itu kami hilang kawalan," katanya.

Costa hadir sidang akhbar menggantikan Paulo Bento yang dilayangkan kad merah kerana membantah pengadil yang menamatkan perlawanan ketika pasukannya mahu mengambil sepakan sudut.

Korea Selatan ketika ini menduduki tangga tercorot dalam saingan kumpulan.

Costa menjelaskan, memasuki babak kedua perlawanan berubah apabila Korea Selatan menguasai bola dan mencipta peluang untuk menjaringkan gol, namun tuah tidak menyebelahi pasukan.

"Keputusan ini tidak adil, malah keputusan seri juga tidak adil buat kami yang sepatutnya menang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dua gol jaringan Cho Gue-sung tidak mencukupi buat wakil Asia itu untuk menewaskan Ghana walaupun mereka menguasai permainan.

Korea Selatan mempunyai satu mata selepas seri tanpa jaringan berdepan Uruguay.

Mereka perlu menewaskan Portugal pada Jumaat dalam aksi terakhir peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan kalah mati.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!