Tiada lagi kelulusan perolehan tanpa tender: PM

Anwar ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana Putra, pada Selasa. Foto Bernama
Anwar ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana Putra, pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebarang kelulusan perolehan tanpa tender tidak boleh lagi berlaku, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya tidak akan mengizinkan kebocoran, ketirisan dan rasuah terus berleluasa.

"Soal peraturan, perolehan, soal kelulusan tanpa tender ini semua tidak boleh lagi," katanya dalam ucapan di hadapan 340 penjawat awam sempena Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri, di sini pada Selasa.

Beliau berkata, semua pihak perlu bekerjasama dalam pasukan bertekad menyelamatkan negara.

"Maka untuk peringkat awal ini, saya ingin menyeru mengajak saudara untuk sama-sama dalam pasukan ini menyelamatkan negara kita," katanya.

Berkongsi pengalaman sewaktu memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan suatu ketika dahulu, beliau bertegas mengeluarkan arahan melarang untuk tidak membenarkan ahli keluarga atau rakan terdekatnya mendapat kepentingan dalam projek berkaitan kerajaan.

"Rakan-rakan pernah tahu masa saya Menteri Kewangan, arahan saya yang pertama ialah melarang sama sekali keluarga atau orang terdekat untuk diberikan kepentingan dalam apa-apa kelulusan projek kerajaan," katanya.

Tegas Anwar, walaupun keadaan Malaysia tidak seteruk negara lain, tetapi kehidupan rakyat agak sukar.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu di peringkat awal, beberapa hari ni saya tak peduli fitnah, saya harap kita tumpu soal kerja," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!