Ulangan aksi epik 2010 Uruguay, Ghana

Reaksi pemain Uruguay selepas tewas 0-2 kepada Portugal dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Lusail pada Rabu. - Foto EPA
Reaksi pemain Uruguay selepas tewas 0-2 kepada Portugal dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Lusail pada Rabu. - Foto EPA
A
A
A

SELEPAS mengharungi dua perlawanan Uruguay masih gagal menemui penyudah tajam setelah kalah 0-2 kepada Portugal dalam aksi Kumpulan H saingan Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Lusail awal pagi Rabu.

Justeru skuad bimbingan Diego Alonso wajib tingkatkan prestasi dalam saingan terakhir kumpulan pada 2 Disember ini menentang Ghana sekali gus mengulangi aksi epik 2010.

"Kami mencari kemenangan ketika menentang Ghana nanti, tiada lagi kesangsian. Jika kami perlu membuat pengubahsuaian, itu yang akan kami lakukan.

"Pasukan perlu kekal tenang dan motivasi diri sendiri untuk bermain. Ia seperti yang kami lakukan pada separuh masa kedua hari ini (Rabu)," ujar Alonso.

Pada aksi itu, dua gol kemenangan Portugal dihasilkan menerusi sentuhan Bruno Fernandes sekali gus menghantar Uruguay ke tangga terbawah kumpulan dengan satu mata.

Biarpun memiliki rangkaian serangan mantap seperti Darwin Nunez, Edinson Cavani dan Luis Suarez, Uruguay gagal menjaringkan gol ketika seri tanpa jaringan dalam aksi pembukaan menentang Korea Selatan pada 24 November.

Pasukan Amerika Selatan itu tiada pilihan selain wajib menang ke atas Ghana pada Jumaat untuk mara ke pusingan kalah mati.

Pada aksi tersebut Ghana sudah pasti mahu melunaskan dendam 12 tahun lalu kerana disingkirkan dengan kejam oleh Uruguay di Piala Dunia Afrika Selatan 2010 dalam suku akhir yang penuh dramatik dan aksi.

Artikel Berkaitan:

Dalam aksi itu, Suarez menampan bola dengan tangan di atas garisan pada minit akhir saingan dan dibuang padang, namun penalti diperoleh Ghana gagal disempurnakan, seterusnya tumpas menerusi penentuan penalti.

Ia sekali gus menutup peluang Ghana menjadi pasukan Afrika pertama dalam sejarah untuk mara ke separuh akhir Piala Dunia.

Suarez ketika itu ibarat pelakon watak jahat dan selepas sedekad dia masih berada dalam skuad Uruguay malah mungkin beraksi semula menentang Ghana.

"Ia adalah sejarah yang berbeza. Mereka sedang mencari slot ke pusingan seterusnya, begitu juga kami. Ia tiada kena mengena dengan apa yang berlaku beberapa tahun lalu," ujar Alonso.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!