PRU15: PH beri laluan kepada BN di DUN Tioman

Mohd Hatta
Mohd Hatta
A
A
A

ROMPIN - Pakatan Harapan (PH) mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, bagi memenangkan calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain yang mewakili Kerajaan Perpaduan ini, jentera pilihan raya PH akan bergerak secara bersama dalam setiap kempen BN.

Menurutnya, Amanah melihat pilihan raya bagi kerusi DUN tersebut sebagai satu pertembungan kerajaan baharu negeri Pahang dengan kelompok ekstremisme kaum dan agama yang perlu ditangani secara serius.

"Atas semangat itu, Amanah melihat keperluan untuk mewujudkan perpaduan erat komponen kerajaan negeri dalam menentang calon Perikatan Nasional (PN).

"Semoga dengan kerjasama ini, keutuhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat diperkuatkan demi kepentingan rakyat, agama dan negara," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, PH juga menjunjung kasih atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi pembentukan kerajaan negeri.

"Kita juga mengucapkan tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas perkenan Pemangku Raja Pahang untuk dilantik sebagai Menteri Besar Pahang," tambah beliau.

Perebutan bagi kerusi DUN Tioman menyaksikan pertembungan antara penyandang daripada BN, Mohd Johari, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman Bakar (Pejuang) dan calon PN, Nor Idayu Hashim selepas calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly memberi laluan kepada calon BN.

Artikel Berkaitan:

PRU15 DUN Tioman yang sepatutnya berlangsung serentak pada 19 November lalu ditangguhkan berikutan kematian calon PN terdahulu, Allahyarham Md Yunus Ramli.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan, Khamis, 24 November sebagai hari penamaan calon bagi PRU15 DUN Tioman, 3 Disember sebagai hari pengundian awal dan hari mengundi pada 7 Disember depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!