Kerajaan Kelantan setuju kisah Tok Janggut difilemkan
KOTA BHARU - Kerajaan negeri menyambut baik cadangan memfilemkan kisah Tok Janggut bagi memperkenalkan perjuangan pahlawan Melayu itu kepada masyarakat khususnya golongan muda.
Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abd Rahman berkata, cadangan bekerjasama dengan anak-anak seni Kelantan merupakan idea terbaik bagi menghasilkan filem Tok Janggut.
"Filem bersejarah seperti Mat Kilau dan Hang Tuah memang mendapat sambutan dan kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan berkenaan.
"Kita juga sedia memberi kerjasama jika ada penggiat seni mahu menghasilkan filem Tok Janggut serta sesuai dengan kosnya," katanya menjawab soalan tambahan Azhar Salleh (Pulai Chondong-Pas) ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Selasa.
Azhar turut mencadangkan supaya berkolaboratif dengan anak seni tempatan seperti Sabri Yunus untuk menjayakan filem Tok Janggut.
Selain itu, ketika menjawab soalan Mohd Nazlan Mohamed (Limbongan-Pas) supaya mewujudkan galeri khusus untuk Tok Janggut, Md Anizam memberitahu, kajian teliti perlu dilakukam kerana melibatkan artifak dan lokasi peristiwa Tok Janggut.
Mohd Nazlan berpendapat galeri itu dapat menjadi salah satu destinasi yang boleh dikunjungi oleh pelancong.
Bagaimanapun kata Md Anizam, kesemua faktor perlu diambil kira kerana kisah Tok Janggut menjadi peristiwa penting dalam sejarah pada tahun 1915.
Beliau sebelum itu turut memaklumkan terdapat beberapa pameran berkaitan pahlawan berkenaan yang dilaksanakan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan melibatkan sekolah seluruh negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!