Kabinet: Belum ada perbincangan menyeluruh - Anthony
SEREMBAN - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan belum ada perbicangan secara menyeluruh mengenai lantikan kabinet di peringkat Pakatan Harapan (PH).
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta setiap ketua parti untuk berbincang perkara tersebut malah bersedia untuk mendengar pandangan masing-masing.
"Belum ada perbincangan secara terperinci diperingkat PH sebab Perdana Menteri perlu berbincang dengan parti gabungan yang lain khususnya dengan Barisan Nasional dan GPS (Gabungan Parti Sarawak)...itu tidak melibatkan saya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Keempat (Belanjawan) Penggal Kelima DUN ke-14 di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan mengenai Pilihan Raya Negeri tahun depan, pihaknya mengambil kira musim haji.
"... Dan ia akan dibincangkan di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan.Terdapat enam negeri (untuk PRN) tapi yang pasti negeri dibawah PH disekalikan.
"Kalau boleh kita elakkan daripada melibatkan mereka menunaikan haji dan saya mengambil cadangan tersebut (musim Haji) sebagai perhatian. Ada dua kemungkinan sama ada sebelum haji atau selepas jemaah balik daripada menunaikan haji,” katanya.
Aminuddin berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai PRN di enam negeri perlu diadakan awal untuk mengelakkan daripada bertembung dengan perayaan dan pelaksanaan musim haji jika dilakukan selepas Mac tahun depan.
Berdasarkan laporan itu tarikh perayaan Aidilfitri tahun depan dijangka pada 22 April bergantung kepada pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja manakala Hari Raya Aidiladha pula diunjurkan pada 29 Jun dan penerbangan pertama jemaah haji pada 21 Mei tahun depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!