Kemenangan BN bukti rakyat semakin tolak PH: Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Kemenangan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam PRK DUN Rantau hari ini menunjukkan pengundi semakin menolak PH.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu juga seolah-olah memberi petanda bahawa rakyat merasakan mereka ‘tersalah sokong’ semasa PRU14.
“Kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) di PRK Rantau suatu mesej bahawa PH telah ditolak oleh pengundi-pengundi yang merasakan mereka telah tersalah sokong pada PRU yang lalu.
“Tok Mat juga ADUN paling sesuai untuk rakyat Rantau biarpun mereka berisiko mengundi calon pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah senada dengan Ahmad Zahid dan berpendapat kemenangan BN membuktikan rakyat kembali sekali lagi kepada parti itu malah merupakan petunjuk bahawa PH semakin ditolak.
Menurutnya, kemenangan itu juga membuktikan rakyat menghargai jasa dan bakti dilaksanakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, UMNO dan BN di Rantau.
“Kemenangan BN dalam PRK Rantau adalah kemenangan rakyat dan merupakan kemenangan berganda kerana ia bukan saja bukti rakyat kembali sekali lagi kepada BN tetapi signal PH semakin tidak diterima.
“Kemenangan hatrik ini dengan majoriti yang lebih besar iaitu sebanyak 4,510 undi adalah bukti rakyat menolak kepimpinan PKR yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PH umumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Lenggong itu, dengan kemenangan Mohamad, kini DUN Negeri Sembilan mempunyai Ketua Pembangkang yang berkelayakan dan kuat.
“Paling utama kemenangan ini membuktikan kesepakatan antara UMNO rakan-rakan Komponen BN, MCA, MIC, Pas, KIMMA, Makkal Sakti dan IPF, NGO, Friends of BN adalah kerjasama terbaik untuk rakyat Malaysia,” ujarnya.
Mohamad mempertahankan kerusi DUN Rantau selepas menewaskan tiga lagi lawannya, Dr S Streram dari PH dan dua calon Bebas, Mohd Nor Yassin dan R Malar.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menang dengan majoriti 4,510 undi selepas memperoleh 10,397 undi sementara Dr Streram mendapat 5,887 undi; Mohd Nor dengan 79 undi dan R Malar memperoleh 83 undi.
ARTIKEL BERKAITAN: Rantau Tok Mat 'punya'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!