PRU15: Nama Mohd Fadzli masih dalam kertas undi - SPR

SPR Pahang memaklumkan nama calon PH kerusi DUN Tioman pada PRU15, Mohd Fadzli Mohd Ramly masih tertera dalam kertas undi. - Foto Bernama
SPR Pahang memaklumkan nama calon PH kerusi DUN Tioman pada PRU15, Mohd Fadzli Mohd Ramly masih tertera dalam kertas undi. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang memaklumkan nama calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mohd Fadzli Mohd Ramly masih tertera dalam kertas undi.

Pengerusi SPR negeri, Datuk Zamree Hamli berkata, tiada perubahan pada status pencalonan selepas tempoh penamaan calon ditutup.

“Nama beliau (Mohd Fadzli) masih ada dalam kertas undi. Sekarang sudah tiada istilah tarik diri.

"Sekali sudah jadi calon, tak boleh tarik diri,” kata ringkas ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Parti Amanah Negara (Amanah) yang mengambil keputusan memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Johari Hussain dalam pemilihan pada PRU15 DUN Tioman pada 7 Disember ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, keputusan itu dibuat sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan peringkat negeri dan nasional yang dimeterai antara PH dengan BN.

Keputusan PRU15 bagi kerusi DUN Pahang menyaksikan BN memperoleh 16 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 dan lapan kerusi dimenangi PH.

SPR mengumumkan PRU15 bagi DUN Tioman yang ditangguhkan susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu, diadakan pada 7 Disember ini.

Artikel Berkaitan:

Mohd Fadzli mencabar calon BN, Mohd Johari dan tiga lagi dari calon PN, Nor Idayu Hashim, Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!