Polis kesan wanita dakwa dirogol
AMPANG - Polis sedang mengesan seorang wanita yang mendakwa dirinya dirogol oleh seorang lelaki di sebuah apartment di Taman Zooview, di sini pada 11 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 20 tahun yang bekerja sebagai peniaga pada 5 November lalu di Balai Polis Kajang.
"Antara isi kandungan laporan berkenaan, mangsa mendakwa telah dirogol tanpa sedar oleh seorang lelaki yang tidak dikenali selepas diberi minuman berperisa epal di apartment berkenaan pada jam 10 malam," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohamad Farouk berkata, pihak polis kini dalam usaha mengesan mangsa yang telah menghilangkan diri selepas laporan dibuat.
"Nombor telefon pengadu juga gagal dihubungi, manakala alamat yang diberikan oleh wanita itu dalam laporan polis juga tidak wujud," katanya.
Mohamad Farouk berkata, pihaknya juga telah mengesan satu ciapan telah dimuat naik oleh pemilik halaman Twitter berkaitan kejadian dakwaan rogol itu.
"Kita juga memohon pemilik Twitter berkenaan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk memberi keterangan," katanya.
Mohamad Farouk turut menasihatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengugat ketenteraman awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!