Sentimen perkauman perlu ditangani lebih efisien - MCCF

Halim
Halim
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menegaskan sentimen perkauman perlu ditangani dengan lebih efisien supaya ia tidak terus menjadi barah dalam negara ini yang masyarakatnya majmuk.

Pengerusi MCCF, Datuk Seri Halim Ishak berkata, undang-undang telah ada dan pihak berkuasa perlu menguatkuasakannya dengan tindakan lebih tegas agar dapat menjadi pengajaran kepada individu lain serta menjadikan isu berkenaan tidak berlarutan.

"Semua pihak termasuk ketua komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik perlu peka dengan tidak membuat kenyataan berbaur hasutan sekali gus menyentuh isu sensitif perkauman dan agama yang menjejaskan perpaduan negara.

"Kita semua perlu berpegang kepada prinsip Rukun Negara dan menghormati Perlembagaan Persekutuan negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tegasnya, sesiapa sahaja termasuk pemimpin negara dan politik yang didapati membangkitkan isu itu perlu diambil tindakan tegas tanpa mengira usia dan kedudukan agar dapat dijadikan pengajaran.

Selain hukuman sedia ada, Halim turut menyarankan hukuman tambahan seperti khidmat kerja sosial di hospital, bahagian kecemasan, tanah perkuburan dan rumah kebajikan terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu.

Dalam pada itu, Halim juga mencadangkan kesedaran moral untuk perkauman hendaklah diterap dari awal persekolahan.

"Selain itu, mereka juga boleh dihantar ke kem jati diri nasional dengan adanya khidmat kaunselor. Ini bagi memupuk rasa cinta pada negara untuk menyedarkan mereka asas perpaduan itu adalah toleransi dan saling menghormati," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!