Kumpulan penjenayah aktif curi motosikal tumpas

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KLANG - Kegiatan jenayah sekumpulan lelaki yang aktif mencuri motosikal sekitar Klang dan Shah Alam tumpas apabila kesemua mereka diberkas di Taman Sri Andalas di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, tangkapan dijalankan berdasarkan siasatan yang dijalankan berikutan kehilangan sebuah motosikal di Lorong Batu Nilam 1E, Bandar Bukit Tinggi di sini pada 19 November lalu.

"Mangsa seorang lelaki warga tempatan berumur 19 tahun menyedari motosikal jenis Yamaha Y15ZR miliknya hilang dicuri di hadapan rumahnya kira-kira jam 3 pagi.

"Suspek dipercayai menggunakan kunci pendua yang telah diubahsuai untuk menghidupkan enjin motosikal tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Hoong Fong berkata, berdasarkan maklumat diterima sepasukan anggota polis dari Balai Polis Klang kemudian memberkas empat suspek pada Ahad.

"Kesemua suspek berumur antara 17 hingga 30 tahun itu diberkas pada jam 1.37 pagi di kawasan Jalan Sri Sarawak 14, Taman Sri Andalas, Klang.

"Polis turut merampas motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek kini direman tiga hari untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Semakan rekod mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!