Weng Kean rangkul pingat emas e-sukan di Kazan
PEMEGANG Phd kejuruteraan elektrik, Dr Yew Weng Kean menjuarai kejohanan E-Sukan Belia Antarabangsa di Kazan, Rusia, semalam apabila meraih pingat emas dalam acara Hearthstone.
Weng Kean yang berusia 32 tahun, mempamerkan gaya permainan yang hebat untuk menewaskan Saad Andaleeb dari Bangladesh, 3-0.
“Saya rasa luar biasa untuk kemenangan ini dan amat berpuas hati dengan aksi saya. Ia juga memberikan saya persediaan yang baik untuk menghadapi Sukan Asia tidak lama lagi kerana beberapa peserta di sini juga akan turut terlibat di sana.
“Sangat berterima kasih atas peluang yang diberikan untuk mewakili Malaysia dan dengan kemenangan ini, kita boleh mengibarkan bendera kita kalangan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.
Weng Kean– lebih dikenali dengan nama wkyew90 dalam dunia e-sukan - membawa pulang satu emas melalui acara yang sama, apabila e-sukan pertama kali diperkenalkan sebagai acara kompetitif di Sukan SEA 2019 di Manila.
Pada masa yang sama, pasukan negara turut meraih pingat gangsa dalam acara Dota2 menerusi pasukan Myth Avenue Gaming yang dibarisi Gan Hou Sing, Muhammad Nur Alif Alias, Chan Kok Khin, Ng Wei Poong dan Chong Kin Kit, selepas pasukan tuan rumah (Persekutuan Rusia) memenangi emas dan Kazakhstan merangkul perak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!