Skandal Felda, TH malukan Melayu

A
A
A

RABU, 10 April 2019 adalah satu lagi hari tragis bagi Malaysia dan amat memamlukan bagi orang Melayu. Satu lagi niat baik dinodai dan dirosakkan oleh orang Melayu sendiri.

Sebelum bercerita tragedi itu, saya mengajak orang Melayu memikirkan semula konsep bangsa, agama, jati diri dan harga diri yang sering mereka laungkan. Apa guna orang Melayu mendabik dada meneriak slogan ketuanan Melayu dan berbangga dengan identiti Islam kalau yang menipu bangsa Melayu adalah orang Melayu sendiri?

Sebagai bangsa yang wajib beragama Islam, apakah contoh Islam yang hendak mereka tunjukkan kepada dunia?

Tragedi yang didedahkan pada hari tersebut adalah kertas Putih Felda yang dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sebelum itu bangsa Melayu dan orang Islam dimalukan oleh skandal 1MDB dan Tabung Haji yang kedua-duanya terpaksa diselamatkan dengan peruntukan berpuluh bilion ringgit.

Selepas ini kita mungkin mendengar hal yang sama di Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Bagi saya, najis yang Mohamed Azmin dedahkan untuk dilihat oleh semua orang itu, khususnya peneroka Felda tidak memeranjatkan langsung. Tetapi saya akan terperanjat jika selepas ini peneroka Felda masih percaya dan taksub kepada Barisan Nasional (BN) yang telah merosakkan harta pusaka mereka.

Sejak tahun 2012 lagi saya telah menulis, menganalisis dan memberi amaran bahawa apa yang sedang dilakukan ke atas Felda dan TH adalah berbahaya dan tidak lestari.

Artikel Berkaitan:

Ia bermula dengan cita-cita melangit Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Abdul Razak melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) perladangan terbesar di dunia pada tahun tersebut.

Bagi melakukan IPO itu, beliau sekali gus memindah dan menggadai harta Felda serta kebun peneroka kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV). Ini adalah harta yang diwujudkan seawal tahun 1957 – tahun kemerdekaan – apabila ladang pertama Felda dibuka di Lurah Bilut, Pahang.

Harta-harta itu dipindahkan kepada FGV pada harga biasa tetapi FGV menjualkan saham-sahamnya pada harga yang amat mahal, termasuk kepada peneroka.

Saya telah menulis mengatakan bahawa harga RM4.55 sesaham itu terlalu tinggi dan sukar dipertahankan dan membuat kesimpulan bahawa ia lebih berupa skim cepat kaya menjelang Pilihan Raya Umum 2013.

Kebimbangan saya menjadi kenyataan. Setelah melonjak naik hingga RM5.46 apabila perniagaan dimulakan pada Jun 2012, harga saham FGV jatuh merudum secara sistematik dan berterusan hingga hari ini.

Tetapi matlamat jangka pendek Najib tercapai. Harga yang melambung itu membolehkan pihak-pihak tertentu mengaut keuntungan modal lumayan. Dari segi harga, saham FGV kini boleh dianggap saham sampah (junk shares). Pada 11 April, harganya adalah RM1.25. Ertinya pelabur telah rugi RM3.30 bagi setiap saham FGV yang mereka beli ketika IPO.

Kerugian pelabur menjadi mutlak kerana FGV gagal membayar dividen yang baik. Kecelakaan paling besar ditanggung oleh Felda dan peneroka kerana mereka adalah pemilik utama.

Pengaliran tunai Felda jatuh kerana ladang digadaikan kepada FGV dan semua simpanan habis dibelanjakan untuk menampung keperluan harian. Tidak cukup dengan kecelakaan akibat FGV, Najib memaksa pula Felda membeli ladang milik kawan Indonesianya, Tan Sri (Kehormat) Peter Sondakh dengan harga yang melebihi penilaian pasaran.

Ini pun sudah saya tulis dengan meluas. Ia juga skim labu peram ala FGV. Felda membeli 37 peratus saham syarikat Sondakh yang bernama Eagle High Plantations dengan harga 580 Rupiah sesaham dengan membayar kira-kira AS$505 juta (RM2.02 bilion).

Sekarang harga saham Eagle High - helang terbang tinggi – tinggal hanya sekitar 160 Rupiah. Maksudnya Felda telah rugi besar.

FGV dan Eagle High hanyalah dua daripada kerugian besar yang dideritai Felda akibat campur tangan Najib dan BN. Tujuan mereka bukan untuk kebaikan jangka panjang peneroka tetapi untuk kepentingan peribadi gerombolan mereka.

Ada banyak lagi kemelut mereka tinggalkan yang kini sedang cuba diatasi oleh Kerajaan Pakatan Harapan supaya Felda kembali teguh dan kebajikan peneroka terbela.

Tetapi peneroka, khususnya generasi kedua yang lebih berilmu dan faham kerosakan yang telah dilakukan oleh Najib dan gengnya, hendaklah mengubah sikap dan membantu proses pemulihan ini.

Kerajaan PH berhasrat menjadikan peneroka rakan kongsi yang progresif dan bukan sebagai orang suruhan yang digula-gulakan setiap kali berlaku pilihan raya.

Ingatlah, pembayar cukai telah mengorbankan RM6.23 bilion untuk menyelamatkan tuan-tuan dan puan-puan sekalian daripada malapetaka yang dibawakan oleh Najib dan BN.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!