10 rumah dihuni pelajar pondok terbakar
KOTA BHARU - Sebanyak 10 buah rumah yang dihuni pelajar Pondok Pasir Tumbuh di Kampung Terusan Limbat di sini hangus dalam kebakaran kira-kira jam 5 petang.
Ketua operasi, Penolong Penguasa Bomba Juhari Ahmad ketika ditemui di lokasi berkata, terdapat 12 buah rumah bersaiz kira-kira 1.2 meter persegi di kawasan itu.
"Bagaimanapun, dua rumah yang tidak berpenghuni selamat daripada kebakaran," katanya.
Menurut Juhari, bomba menerima panggilan kira-kira jam 5.04 petang sebelum bergegas ke lokasi dan api dapat dikawal pada jam 5.42 petang.
Tambah beliau, seramai 20 anggota dan pegawai termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumbuh dan BBP Tunjong serta dua jentera terlibat dalam operasi memadam kebakaran.
"Jumlah itu turut melibatkan Bahagian Operasi dan Siasatan serta Zon 1, Kota Bharu.
"Kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan dan punca serta kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Sementara itu, seorang penduduk yang tinggal berdekatan, Bukhari Salman, 23, tidak menyangka kebakaran berlaku hanya beberapa meter dari rumahnya.
Bukhari yang sedang bekerja di sebuah gedung beli-belah di bandar Kota Bharu begegas pulang selepas seorang rakan memaklumkan kejadian itu pada jam 5.30 petang melalui WhatsApp.
Bukhari bagaimanapun bersyukur ketika kejadian, neneknya, Rohani Said, 69, tiada di rumah kerana sedang menunaikan solat berjemaah di masjid berdekatan.
"Sebaik tiba, saya dapati asap tebal memenuhi ruang rumah manakala 10 cermin tingkap pecah akibat haba panas.
"Api sudah padam tetapi anggota bomba masih berusaha memastikan keadaan selamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!