Beri peluang Anwar buat kerja

Anwar Ibrahim. Foto: Bernama
Anwar Ibrahim. Foto: Bernama
A
A
A

SEJAK Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri, kita disajikan dengan sedikit demi sedikit kelainan dalam pentadbiran beliau yang sememangnya agak ‘melegakan’ rakyat.

Bermula dengan janji untuk tidak mengambil gaji Perdana Menteri, Anwar kemudian bertekad mahu fokus kepada isu kos sara hidup rakyat seawal hari pertama bertugas.

Bagi membuktikan pentadbirannya berhemah untuk elak pembaziran, Ahli Parlimen Tambun itu sekali lagi mendapat pujian rakyat kerana menolak menggunakan kereta Mercedes S600, sebaliknya lebih senang pandu kenderaan sedia ada di pejabat sahaja.

Terbaharu, beliau menegaskan kelulusan perolehan tanpa tender juga dipastikan tidak akan berlaku lagi kerana tidak mahu Kerajaan Perpaduan yang diketuai ‘dicop’ mengamalkan rasuah.

Walaupun belum sampai seminggu Anwar menerajui Kerajaan Perpaduan, namun keseriusan dipamerkan bagi mengubah beberapa sistem yang ‘rosak’ sangat jelas kelihatan dan sudah tentu ia memberi petanda gelombang perubahan akan berlaku di negara ini.

Penambahbaikan yang beliau lakukan sepatutnya diraikan dengan hati terbuka sebagai tanda kita memberi peluang dirinya ‘buat kerja’ selepas mendapat mandat rakyat Malaysia.

Namun, sebaliknya pula berlaku apabila ada pihak cuba menyulitkan keadaan dengan memainkan sentimen propaganda dan tohmahan terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Tidak cukup menggali isu lama, pihak tidak bertanggungjawab itu melancarkan serangan peribadi yang turut menyentuh diri dan keluarga Anwar, bertujuan membangkitkan kebencian rakyat terhadap dirinya.

Artikel Berkaitan:

Amat menyedihkan, tinggal sebulan sahaja lagi menuju ke tahun 2023, ada yang masih mahu mengamalkan politik kebencian tidak matang dan jumud, sama seperti kita masih di era 1970-an dan 1980-an.

Sepatutnya, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang sudah berlalu ditinggalkan dengan penuh memori manis dan masanya sudah tiba untuk rakyat move on.

Pemimpin sudah dilantik, kerajaan juga telah dibentuk. Jadi, kita beri sokongan kepada Kerajaan Perpaduan ini. Sekarang masa untuk fokus bangunkan bangsa dan negara, bukan cari salah sesiapa.

Untuk lima tahun ini, berilah peluang Anwar buat kerja. PRU16 nanti kita analisis semula.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!