Frappart wanita pertama adili aksi Piala Dunia lelaki
STEPHANIE Frappart mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pengadil wanita pertama mengadili aksi Piala Dunia lelaki.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) secara rasmi mengumumkan nama pengadil kelahiran Perancis berusia 38 tahun itu untuk aksi Kumpulan D antara Jerman dan Costa Rica pada awal pagi Jumaat ini.
Frappart antara tiga pengadil wanita yang dipilih untuk kempen Piala Dunia 2022 selain Salima Mukansanga dari Rwanda dan Yoshimi Yamashita dari Jepun.
Tiga lagi pengadil wanita pula bertugas di Qatar sebagai pembantu pengadil.
Bagi Frappart, mengadili perlawanan Piala Dunia lelaki adalah antara pencapaian terbaiknya selepas menempa nama di peringkat Eropah.
Frappart menjadi pengadil wanita pertama mengadili Ligue 1 Perancis pada 2019 - tahun sama ketika dia menjadi pengadil di pentas final Piala Dunia wanita di negaranya itu.
Beliau mengadili aksi final Piala Super 2019 antara Liverpool dan Chelsea sebelum turut diberi kepercayaan mengadili perlawanan Liga Juara-Juara 2020 dan final Piala Perancis musim lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!