Rakyat Kelantan tidak bayar bil air RM28.5 juta

Azami ketika menjawab soalan Mohd Adhan ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Khamis.
Azami ketika menjawab soalan Mohd Adhan ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) melaporkan sebanyak RM28.5 juta bil air gagal dibayar oleh penduduk negeri ini setakat 30 September lepas.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor berkata, kerajaan negeri bagaimanapun belum mengambil sebarang tindakan berkaitan perkara itu.

Menurut beliau, pengguna domestik merupakan faktor utama berlaku tunggakan yang tinggi iaitu berjumlah RM18.4 juta.

"Kutipan juga sedikit perlahan kerana semua pengguna masih dalam peringkat pemulihan pasca Covid-19," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Adhan Kechik (Bukit Bunga-BN) mengenai jumlah tunggakan bil pengguna AKSB pada Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Khamis.

Azami berkata, tunggakan bil pengguna (aktif) AKSB hingga 30 September 2022 ialah RM28,543,688 dan jauh berkurangan berbanding dengan akhir 2021 (31 Disember 2021) yang berjumlah RM33,212,268.

Tambah beliau, bagi meningkat hasil kutipan, AKSB melaksanakan aktiviti penguatkuasaan kutipan secara berterusan di seluruh jajahan terutama yang tiada masalah bekalan air bersih pada tahun ini dan menyediakan pelbagai medium kutipan termasuk melalui bank dan ejen kutipan.

Menjawab soalan tambahan Hilmi Abdullah (Guchil-Pas) yang bertanyakan sama ada kerajaan mahu memberi bekalan air percuma kepada asnaf di Kelantan, beliau berkata, pihaknya sentiasa membantu penduduk yang memerlukan.

“Kita menyediakan 30 lori sewa khas yang bersedia mengagihkan bekalan air percuma kepada asnaf di semua kawasan sejak April 2020 hingga Julai tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua agihan itu berjumlah RM11.5 juta yang juga antara tanggungjawab sosial kita," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!