Mat rempit di Kelantan meningkat
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Polis Kelantan mendedahkan kes mat rempit di negeri ini meningkat 114 peratus bagi tempoh Januari hingga Oktober berbanding tahun lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, daripada jumlah tersebut remaja berusia 17 tahun ke bawah menyumbang jumlah yang paling ramai terlibat dengan aktiviti tidak bermoral tersebut.
"Setakat ini, seramai 61 remaja berusia 17 tahun ke bawah yang ditahan bersabit kes tersebut berbanding hanya 18 orang sahaja tahun lalu.
"Manakala 57 tangkapan melibatkan mat rempit berusia 18 hingga 39 tahun dan hanya empat tangkapan (40 tahun ke atas)," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.
Pada majlis itu, seramai 50 orang melibatkan pegawai, anggota dan kakitangan awam menerima sijil penghargaan.
Menurut beliau, kesemua yang ditahan itu menerusi pelbagai operasi yang dilakukan di seluruh negeri mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, kes tersebut agak membimbangkan kerana ia menunjukkan peningkatan.
"Antara langkah yang diambil bagi membanteras perkara tersebut ialah dengan memberi khidmat nasihat kepada golongan remaja melalui program khas di sekolah-sekolah.
“Ketua Polis Daerah, Pengarah dan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) turut disarankan agar memantau perkara ini," katanya.
Beliau menasihati ibu bapa supaya memberi contoh yang terbaik kepada anak-anak tentang keselamatan ketika menunggang motosikal seperti memakai topi keledar dan lesen memandu.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Muhamad Zaki berkata, bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sebanyak 126,529 saman dikeluarkan melibatkan kesalahan seperti topi keledar (6,145 saman), nombor pendaftaran (2,263), lampu isyarat (2,014), ekzos (1,493) dan alat komunikasi (623).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!