Hazard nafi kem Belgium bergolak
KAPTEN Belgium, Eden Hazard menafikan berlaku keretakan dalam skuad The Red Devils, namun mengakui terdapat perang mulut dalam kalangan pemain berikutan kekalahan mengejut 0-2 aksi Kumpulan F Piala Dunia Qatar 2022 kepada Maghribi di Stadium Al Thumama pada 27 November lalu.
Hazard berkata demikian kepada media bersama penjaga gol Thibaut Courtois.
Sidang akhbar itu adalah langkah pengurusan pasukan untuk cuba memadamkan spekulasi yang semakin meningkat bahawa beberapa pemain telah digugurkan menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan berdepan Croatia do Stadium Ahmed bin Ali pada Khamis.
Belgium, pasukan ranking kedua dunia perlu menewaskan Croatia untuk mara ke pusingan 16 terakhir kejuaraan tersebut.
"Kami bercakap baik dalam kalangan pemain. Banyak yang telah diperkatakan. Kami bercakap selama sejam tentang perkara yang baik dan perkara yang kurang baik.
"Sekarang kami mahu menang menentang Croatia. Kami kini mempunyai beberapa hari untuk membuat persediaan. Kami perlu bersedia mental dan fizikal," kata Hazard.
Pada masa sama, Hazard menafikan berlaku konfrontasi di bilik persalinan selepas kekalahan Maghribi.
Hazard berkata, dia telah bercakap dengan pemain tengah Kevin De Bruyne selepas pemain tengah itu dipetik sebagai berkata skuad Belgium terlalu tua untuk memenangi Piala Dunia.
"Tiada apa-apa berlaku dalam bilik persalinan. Hanya jurulatih Roberto Martinez yang bercakap. Saya bercakap dengan Kevin De Bruyne, dia memang percaya dengan kemampuan kumpulan pemain ini," kata Hazard.
Hazard juga mengakui para pemain kecewa dengan persembahan Belgium dalam dua perlawanan awal kumpulan di Qatar 2022.
"Kami perlu melakukan lebih baik, kami tidak dapat memberikan persembahan yang kami mahukan pada masa ini. Kami perlu menunjukkannya di atas padang, itu yang penting.
"Kami masih mempunyai kualiti dalam pasukan ini dan berada di sini untuk menang. Kami kurang keyakinan dalam menterjemahkan setiap tindakan penyudah. Kami perlu mendapatkan semula keyakinan itu," katanya.
Sementara itu, Courtois yang akan melakukan penampilan ke-100 berdepan Croatia menegaskan laporan keretakan dalam kem sebenarnya telah merangsang skuad Belgium.
"Masalahnya ialah terlalu banyak pembohongan disebarkan. Situasi digambarkan tidak wujud. Sebagai satu kumpulan, kita perlu mengelak negatif itu.
"Semuanya telah dijelaskan. Semua orang telah menyatakan pendapat masing-masing secara terbuka. Sekarang kami perlu mengambil tindakan di atas padang. Elok kami mengadakan perbualan berkumpulan. Kami berkata apa yang kami fikirkan antara satu sama lain.
"Kami harus jujur antara satu sama lain dan berjuang untuk satu sama lain di atas padang demi Belgium," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!