Himpunan aman dijamin tiada provokasi

Himpunan aman pertama di Masjid Kuala Ketil pada 2 November
Himpunan aman pertama di Masjid Kuala Ketil pada 2 November
A
A
A

KUALA KETIL - Himpunan Aman Kebangkitan Rakyat yang dijadualkan berlangsung di Padang Awam, di sini pada 15 Disember telah mendapat kebenaran polis.

Pengarah program, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, kebenaran itu diperolehi tiga hari lalu dan pihaknya memberi jaminan ia berlangsung dalam keadaan aman dan tanpa provokasi.

Menurutnya, himpunan peringkat Parlimen Baling itu bermula 9.30 pagi hingga 1 tengah hari itu akan dihadiri beberapa pimpinan Pas dan Umno peringkat kawasan, negeri dan Pusat.

"Kami memberi jaminan himpunan ini tidak akan dijalankan dalam bentuk provokasi atau menyentuhi mana-mana individu, kaum dan agama.

"Himpunan ini sebagai medium lebih berkesan untuk orang ramai menerima penjelasan mengenai Konvensyen Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau yang juga Adun Kuala Ketil berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran seramai 10,000 hingga 12,000 penyertaan.

Mansor
Mansor

Menurutnya, peserta akan mula berhimpun di stesen bas lama Kuala Ketil dan berarak ke lokasi kurang satu kilometer.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun himpunan aman telah dijalankan pada 8 Disember lalu dalam keadaan dan sambutan cukup baik tetapi kita tidak boleh berhenti setakat ini saja.

"Ini isu nasional dan antarabangsa, kita akan teruskan usaha ini sehinggalah kerajaan baharu benar-benar membuat keputusan ICERD tidak diterima di negara ini," katanya.

Menurutnya, himpunan itu juga tidak akan mengganggu pasar Sabtu yang beroperasi berhampiran padang.

Menurutnya, jawatankuasa program dibentuk tiga minggu lalu dengan kerjasama pelbagai agensi akan melaksanakan tugas sebaik mungkin.

"Saya telah berurusan dengan Majlis Daerah Baling bagi pengunaan padang termasuk mendapatkan kerjasama daripada agensi-agensi lain bagi memastikan kelancaran himpunan itu.

"Kita juga memberi jaminan kepada para peniaga pasar Sabtu bahawa mereka tidak akan dibebani masalah. Insya-ALLAH jumlah pengunjung yang ramai akan bawa manfaat kepada peniaga," katanya.

Beliau berkata, semua kaum tanpa mengira latar belakang parti politik dijemput menyertai himpunan tersebut.

Terdahulu, himpunan aman diadakan di Masjid Kuala Ketil pada 2 dan 16 November peringkat Masjid Kuala Ketil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!