PRU15 Tioman: PH tak ada potensi, bukan saingan PN - Mohd Amar
KOTA BHARU - Keputusan Pakatan Harapan (PH) memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman tidak menjejaskan Perikatan Nasional (PN).
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ia bukan saingan PN berdasarkan potensi pada pilihan raya lalu.
Menurut beliau, gabungan berkenaan juga tidak menjadi masalah kepada parti itu untuk menang di Langkawi.
"PH tidak ada potensi...hanya nasi tambah, mereka tidak yakin boleh menang sebab itu tarik diri, jika kalah pun malu," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Rabu.
Mohd Amar memberitahu Pas juga boleh memenangi pilihan raya itu jika terdapat persaingan tiga penjuru.
Beliau turut berpendapat, berdasarkan pilihan raya di Tioman, PH dan BN mungkin menggunakan kaedah sama (BN akan bertanding) selepas ini.
"BN cuma mahu kerusi sebab itu mereka putuskan hubungan dengan Muafakat Nasional," katanya.
PH pada Selasa memutuskan untuk menarik diri dan memberi laluan kepada calon BN bertanding di DUN Tioman.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hatta Ramli berkata, langkah itu diambil sebagai menunjukkan kesepakatan kerajaan Pahang dan Putrajaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!