Tok Mat masih berbiso!

Mohamad Hasan mempertahankan kerusi DUN Rantau selepas memenangi pada PRK dengan menewaskan tiga calon lain dengan memperoleh majoriti 4,510 undi, selepas mendapat 10,397 undi. - Foto Bernama
Mohamad Hasan mempertahankan kerusi DUN Rantau selepas memenangi pada PRK dengan menewaskan tiga calon lain dengan memperoleh majoriti 4,510 undi, selepas mendapat 10,397 undi. - Foto Bernama
A
A
A

KEMENANGAN yang tidak lagi tertangguh. Tiada kejutan, sudah dijangka keputusannya.

Mungkin itulah rumusan paling tepat menggambarkan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam pertembungan empat penjuru pada PRK DUN Rantau.

Sejak awal lagi ramai pihak yang meramalkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mampu mempertahankan DUN Rantau, kawasan yang diwakilinya sejak tiga penggal.

Ternyata, beliau menepati ramalan. Beliau menang dengan 10,397 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram, 64, dengan majoriti 4, 510 undi.

Dr Streram memperoleh 5,887 undi manakala dua calon Bebas yang turut bertanding, R. Malarvizhi mendapat 83 undi dan Mohd. Nor Yassin mendapat 79 undi.

Jangan salahkan Dr Streram kalah kerana beliau bukanlah calon pilihan akar umbi PKR di kawasan itu.

Bahkan, pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ibarat indah khabar dari rupa. Biarpun berkampung di sana, Presiden PKR itu masih gagal untuk memenangkan Streram kerana penolakan daripada kaum India sendiri.

Berbalik kepada Mohamad atau lebih mesra dipanggil Tok Mat, auranya masih terasa. Ucapannya masih berbisa walaupun pekat dengan dialek Negeri Sembilan. Pendekatannya cukup dekat dengan masyarakat. Dalam kelembutan bicaranya, ada ketegasan yang tersirat.

Artikel Berkaitan:

Auranya semakin terserlah selepas dipilih mengepalai UMNO selepas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti. Tidak hairanlah UMNO yang kelihatan ‘hampir karam’ sebelum ini mula menongkah ombak, membelah badai, melayari samudera politik negara dengan nakhoda baru.

Tidak keterlaluan jika ada yang mengatakan BN menang kerana pengaruh Tok Mat. Jika BN memilih calon lain di Rantau, peluang PH agak terbuka dan lebih mudah.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani tidak menolak faktor itu berkata, sememangnya aura Tok Mat dan semangat jentera parti menjadi pemangkin kepada kemenangan BN di Rantau.

“Faktor yang paling utama Tok Mat, sebab beliau Pemangku Presiden UMNO. Jadi saya rasa daya tarikan itu sudah cukup kuat. Satu lagi jentera. Mereka bergerak dengan sangat tersusun, memang bersemangat.

“Kalau bukan Tok Mat, mungkin majoriti kurang sikit. Kali ini menang besar kerana Tok Mat,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, berdasarkan pemerhatiannya, PH perlu berasa risau selepas ini kerana pengundi bukan Melayu sudah mula memberikan undi kepada BN - situasi berbeza berbanding PRU14.

Katanya, ini adalah kejayaan hatrik bagi BN bermula dari Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, membuktikan juga penyatuan Pas-UMNO semakin mantap, kukuh dan ampuh dari hari ke hari.

Begitupun, berdasarkan komen penganalisis politik sebelum ini, banyak faktor menyebabkan sokongan kepada PH semakin menurun.

Antaranya, sudah pasti kerana janji yang gagal ditunaikan, mengundang kekecewaan sekaligus membangkitkan kemarahan rakyat.

Berbalik kisah di DUN Rantau, ramai yang berpendapat Tok Mat akan berjaya mengekalkan Rantau berdasarkan jumlah rakyat yang datang mendengar ceramah beliau.

Kekuatan BN disokong oleh jentera Pas termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut berkempen di Rantau.

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat, imej UMNO semakin pulih dengan kemenangan itu dan agenda pembersihan UMNO dilihat berjaya.

“Tok Mat selepas ini perlu buktikan beliau merupakan pembangkang lebih berwibawa dan mampu menyuarakan isu di Negeri Sembilan.

“Pada masa sama, Tok Mat perlu merangka strategi terbaik untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN di Negeri Sembilan dan melancarkan pelan merampas semula Negeri Sembilan daripada PH dalam PRU15,” ujarnya.

PH kalah di 13 daripada 14 pusat daerah mengundi (PDM). Satu-satunya PDM yang dimenangi PH ialah Bandar Ekar, memiliki peratusan pengundi Cina paling tinggi (42.1 peratus) dan pengundi India ketiga tertinggi di Rantau.

Sokongan kepada PH di situ menurun daripada 70.3 peratus pada PRU lalu (peringkat Parlimen Rembau) kepada 60 peratus untuk kali ini.

Dr Streram memohon 'talian hayat' pada kempen terakhir iaitu kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi kecewa.

Ada yang berpendapat video klip yang tular mengenai 'anak manusia dan anak bulu-bulu' untuk menyampaikan pesanan kepada pengundi menyebabkan beliau teruk dikritik.

“Bahasa pun tak betul, ada hati nak jaga rakyat!” kata netizan. Untuk berlaku adil, Dr Streram adalah pakar bius. Apakah kerana bahasa seseorang itu tidak betul, Dr Streram tidak boleh memenangi hati rakyat terutama kaum Melayu?

Fokus selepas ini pastinya membangunkan Rantau dan menjaga kebajikan rakyatnya. Tok Mat pastinya ada banyak kerja untuk dilakukan selepas ini, untuk Rantau, Negeri Sembilan dan UMNO, pastinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!