Pekerja ladang tidak mampu beli rumah sendiri
SHAH ALAM - Sebilangan besar bekas pesara pekerja ladang di negeri ini tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri.
Exco Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja, V Ganabatirau berkata, pesara daripada sektor perladangan berdepan masalah itu selepas tidak lagi berkhidmat dalam sektor terbabit.
Menurut beliau, semasa berkhidmat sebagai pekerja ladang, kebiasaannya majikan menyediakan kemudahan asas termasuklah kuarters perumahan di kawasan ladang.
"Bagaimanapun, kemudahan tersebut perlu dipulangkan semula selepas mereka bersara.
"Tidak dinafikan isu perumahan salah satu isu utama dihadapi bekas bekas pekerja ladang di negeri Selangor yang sering dibangkitkan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, G Gunaraj mengenai status kediaman pekerja ladang selepas bersara pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu.
Ganabatirau memberitahu, pekerja ladang dan bekas pekerja ladang boleh dikategorikan sebagai antara golongan miskin dan kurang berkemampuan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan Selangor melalui Estate Land Board ( ELB ) sentiasa berusaha dan berbincang bagi mendapatkan bantuan seumpamanya untuk mengatasi masalah melibatkan pemilikan rumah kepada bekas pekerja ladang.
Bagaimanapun, ujar beliau, kerajaan negeri tidak dapat mengarahkan dan membantu secara mutlak berhubung semua isu pemilikan perumahan oleh pekerja ladang dan bekas pekerja memandangkan terdapat perjanjian dipersetujui di antara majikan, pekerja ladang dan pemaju kerana ia di luar kawalan kerajaan negeri.
Jelas Ganabatirau, kerajaan negeri melalui ELB sentiasa memohon bantuan perumahan pekerja ladang diwajibkan kepada setiap majikan dan pemaju bagi membela nasib bekas pekerja sektor berkenaan.
Sebagai alternatif, katanya, kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah (LPHS) diwujudkan khusus untuk membantu rakyat dengan tidak mengira kaum mendapatkan sebuah aset kediaman dengan harga mampu milik.
"Permohonan bagi mendapatkan Rumah Selangorku adalah terbuka kepada seluruh rakyat di negeri Selangor berdasarkan kelayakan," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!