'Arwah ada tanya nama malaikat maut'

A
A
A

ALOR SETAR - Kanak-kanak yang maut dihempap tiang elektrik di Kampung Belukar, Jalan Kampung Darat, Changlun pada petang Selasa sempat bertanyakan perihal agama termasuk syurga dan neraka kepada ibunya.

Sharifah A Rahim, 35 ibu kepada mangsa, Muhammad Aqil Wafiq Ruslizan, 10, berkata, dia tidak menyangka persoalan itu menjadi petanda bahawa anaknya akan pergi selamanya.

"Arwah sebelum ini ada bertanyakan mengenai maksud namanya, ibu, bapa serta adiknya sama ada mempunyai maksud elok atau tidak sambil mencari melalui carian di Internet.

"Saya beritahu nama dia bermaksud bijak serta terpelajar dan suruh dia belajar dengan rajin. Lepas itu dia bertanya pula nama malaikat maut selain syurga dan neraka," katanya semasa ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini pada Rabu.

Sharifah berkata, mereka sekeluarga reda dengan kehilangan anak kedua dari tiga beradik itu.

Mengulas mengenai tragedi yang menimpa anaknya itu, Sharifah memberitahu, lokasi kejadian hanya kurang 100 meter dari rumah neneknya, Zaiton Abu, 64.

Jenazah arwah Muhammad Aqil Wafiq akan dibawa ke Kampung Berona Kanan, Jeniang, Sik untuk dikebumikan pada Rabu.
Jenazah arwah Muhammad Aqil Wafiq akan dibawa ke Kampung Berona Kanan, Jeniang, Sik untuk dikebumikan pada Rabu.

"Dia mungkin ikut kawan-kawan dia main dekat situ sebab sebelum ini dia tak pernah pergi ke situ pun," kata Sharifah yang merupakan suri rumah.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, longgokan tiang elektrik tersebut sudah ada di situ sejak sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

"Tiang elektrik itu ditahan menggunakan kayu saja dan ketika kejadian ada bunyi kuat dan memang saya dah syak ada benda buruk berlaku kerana lokasi kejadian bertentang dengan rumah neneknya dan boleh nampak dari jauh.

"Arwah memang tak pernah bermain di situ dan rupanya anak saya yang meninggal," katanya.

Sharifah berkata, suaminya, Ruslizan Ali, 42, baru sahaja terbabit kemalangan akibat diserang sawan ketika memandu teksi dua bulan lalu.

Menurutnya, Ruslizan koma hampir dua minggu dan kini dalam proses pemulihan serta kini mengharapkan bantuan ibu bapa sementara menunggu untuk kembali bekerja.

"Jenazah anak kami akan dikebumikan di Kampung Berona Kanan, Jeniang, Sik pada hari ini (Rabu)," ujarnya.

Rakan mangsa, Wan Aliff Danish Abdullah, 10, pula masih kritikal manakala seorang lagi mangsa berusia 11 tahun masih dirawat di Hospital Jitra.

Peristiwa tersebut mengejutkan warga Sekolah Kebangsaan Dato Wan Kemara, Changlun dan Guru Besarnya, Mohd Nizam Saidin menyifatkan arwah Muhammad Aqil Wafiq dan Wan Aliff Danish merupakan murid yang baik dan rajin di sekolah tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!