Jepun enggan pisang berbuah dua kali
PENYERANG Jepun, Ritsu Doan tidak mahu episod duka tewas 1-0 kepada skuad Sepanyol pada separuh akhir acara bola sepak Olimpik Tokyo tahun lalu apabila kedua-dua pasukan itu bertemu pada aksi terakhir kumpulan E pada awal pagi Jumaat.
Justeru, dia dan rakan sepasukannya tekad mahu menebus kekecewaan tersebut apabila menyasarkan untuk menang pada perlawanan itu sekali gus melayakkan diri secara automatik ke peringkat Piala Dunia Qatar 2022.
“Skuad kini berada dalam keadaan yang baik serta positif menjelang pertemuan menentang Sepanyol. Pada perlawanan tersebut saya mahu memberi aksi yang terbaik dan mahu menang menentang Sepanyol.
“Saya tahu cara permainan mereka dan kami tidak sanggup untuk tewas buat kali kedua kepada lawan yang sama,” katanya.
Untuk rekod, Doan merupakan salah seorang dari sembilan pemain skuad Jepun ketika ini yang beraksi menentang Sepanyol di peringkat separuh akhir bola sepak lelaki Olimpik Tokyo di Stadium Saitama yang mana mereka tewas 1-0 sekali gus melenyapkan impian untuk meriah pingat emas.
Dalam pada itu, skuad Samurai biru mendapat tonik baharu menjelang perlawanan menentang Sepanyol apabila tonggak pertahanannya Takehiro Tomiyasu dilihat sudah kembali ke padang bersama rakan sepasukannya untuk memulakan latihan.
Pemain pertahanan Arsenal itu mengalami masalah hamstring yang menyebabkan dia tidak dapat berlatih sejak dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa ketika Jepun memenangi perlawanan pembukaan Jerman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!