Majlis Raja-Raja cadang lafaz ikrar Rukun Negara terus dilaksana
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Majlis Raja-Raja mencadangkan lafaz ikrar Rukun Negara terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam majlis bersesuaian.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah, lafaz ikrar itu juga perlu diketuai pemimpin yang dilantik dan bukan lagi dari kalangan belia yang bersuara lantang.
Baginda bertitah, perkara itu akan membuktikan bahawa kerajaan serius dalam menjadikan Rukun Negara sebagai asas dan panduan rakyat Malaysia.
"Beta mengucapkan tahniah kepada mereka yang baru dilantik untuk menyandang jawatan dalam kerajaan iaitu Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Besar negeri yang berkenaan.
"Jawatan-jawatan yang membawa tanggungjawab besar ini memberi peluang kepada mereka yang dilantik untuk memimpin negara ke hadapan.
"Beta berpandangan peranan yang berat ini haruslah digalas berasaskan prinsip-prinsip yang telah digariskan dalam Rukun Negara," titah baginda selepas mempengerusikan Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara pada Rabu.
Justeru, baginda menyeru kepada kerajaan baharu agar mendukung dan memperkukuhkan prinsip-prinsip Rukun Negara yang telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-4 pada tahun 1970.
Tuanku Mukhriz bertitah, semangat dan nilai-nilai prinsip Rukun Negara sewajarnya menjadi amalan serta pegangan semua rakyat dan bukan sekadar tulisan dalam bahan bacaan sahaja.
Titah baginda dalam mesyuarat kali ini, dua daripada lima prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang amat penting untuk memastikan agensi-agensi penguatkuasaan dan badan kehakiman bebas daripada sebarang pengaruh luar dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Selain itu, baginda menyeru kepada kerajaan baharu untuk memupuk semangat kebersamaan di kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai agama, bangsa dan budaya.
"Beta berharap supaya tiada lagi pemimpin yang membangkitkan isu perkauman atau agama dengan tujuan untuk menghasut rakyat," titah baginda.
Baginda turut menggesa agar kerajaan baharu menggunakan peluang yang ada sebaik-baiknya untuk memacu negara ke tahap lebih tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!