Tanpa prinsip kita sudah sesat

No Image Caption
A
A
A

EMPAT setengah tahun lepas pada 13 Mei 2018, saya telah memimpin sekumpulan aktivis untuk memprotes tindakan kerajaan baharu PH di Johor, empat hari selepas mereka mendapat hak untuk membentuk kerajaan pada PRU14.

Kami membantah kerajaan PH Johor di atas dua perkara. Pertama, almarhum Osman Sapian, Menteri Besar ketika itu memberitahu media bahawa beliau tidak mahu memberikan sebarang peruntukan kawasan kepada pembangkang (UMNO) kerana tidak mahu memberikan “peluru” kepada pembangkang untuk “menembak” beliau. Isu kedua pula adalah beliau (PH) menerima katak politik yang melompat daripada UMNO ke Bersatu.

Sebagai langkah segera selepas tentangan kami, Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu ketika itu, mengarahkan Osman untuk memberikan peruntukan kepada pembangkang di Johor walaupun tidak sama rata. Namun mereka masih menerima pelompat daripada UMNO di peringkat negeri dan persekutuan.

Kepada kami sebagai aktivis, menerima pelompat daripada parti lain adalah tindakan yang menggalakkan pengkhianatan kepada pengundi mereka dan tidak memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang adalah tindakan yang tidak menghormati hak pengundi untuk memilih siapa yang mereka mahu untuk mewakili mereka. Amalan sebegini tidak ada tempat dalam demokrasi.

Disebabkan pendirian kami, ramai penyokong PH malah rakan-rakan mengkritik, menghentam dan memaki kami sebagai idealistik, naif dan panggilan yang buruk. Matlamat menghalalkan cara bagi mereka. Mereka mengatakan PH perlu membina majoriti dua pertiga yang meyakinkan untuk meminda perlembagaan bagi reformasi, dan “katak-katak” dialu-alukan. Tambahan, BN layak dihukum akibat onar yang mereka lakukan kepada negara dan pembangkang sekian lamanya dulu.

Siapa sangka kerana dua isu ini, lompat parti dan sebab melompat kerana peruntukan yang tidak sama rata, telah menjatuhkan kerajaan PH selepas 22 bulan. Saya tidak mengatakan hanya ini alasannya namun tindakan yang tidak berprinsip telah memberikan justifikasi kepada kesan yang tidak berprinsip pula.

Kini, selepas PRU15, keputusan yang menjadikan “kerajaan perpaduan” dipimpin PH, golongan pragmatis dan realis yang sama mengatakan bahawa prinsip tidak sepenuhnya penting dan apa yang mustahak adalah untuk kekal berkuasa, walaupun terpaksa berkompromi dengan prinsip-prinsip dan janji-janji sendiri.

Walaupun PM baharu, Anwar Ibrahim, sedang mempertimbangkan Kabinetnya, beliau sedang didesak untuk membentuk pasukan yang bukan sahaja daripada gabungan PH malahan juga MP daripada parti-parti lain yang memberikan beliau jumlah yang majoriti untuk membentuk kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Anwar Ibrahim - Foto Bernama
Anwar Ibrahim - Foto Bernama

Antara calon untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) adalah Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi yang masih menjalani perbicaraan melibatkan 47 pendakwaan rasuah. Mereka yang juga sedang dibicarakan adalah Lim Guan Eng (DAP), Syed Saddiq (MUDA) dan Bung Mokhtar (UMNO).

Pendirian saya adalah mana-mana orang yang sedang menjalani kes jenayah tidak sepatutnya dilantik ke dalam Kabinet sehinggalah dibebaskan sepenuhnya oleh Mahkamah tanpa campur tangan Eksekutif melalui pengguguran pendakwaan oleh Peguam Negara, yang sebenarnya merupakan lantikan politik.

Kami harus sedar bahawa Peguam Negara juga adalah Pendakwa Raya dan mempunyai kuasa untuk menggugurkan kes yang sedang berjalan. Sekadar menyebutkan beberapa contoh sebelum ini, kita perlu ingat kes-kes seperti Lim Guan Eng pada 2018, Musa Aman pada 2020, Riza Aziz pada 2020 dan kes ketua perisik Hasanah Abdul Hamid pada 2021.

Adakah kita berpuas hati sekiranya kes Zahid, LGE, Saddiq dan Bung Mokhtar digugurkan oleh Peguam Negara tanpa melalui proses undang-undang yang sepatutnya? Walaupun Eksekutif menafikan adanya campur tangan, adakah kita akan mempercayainya atau adakah kita boleh menerima campur tangan tersebut?

Para pragmatis dan realis sekali lagi mendesak kami untuk melihat kepada “gambar besar” dan supaya menjadi “strategik”. Kepada mereka kerajaan perpaduan dipimpin PH ini direalisasikan oleh satu orang, Zahid, dan keabsahan Anwar menjadi PM juga bergantung kepada beliau. Untuk beliau menjadi TPM malah jika kes rasuahnya digugurkan sekalipun adalah luka kecil. Sila fikirkan gambaran yang lebih besar mereka kata.

Saya ingin surahkan gambaran besar saya. Ianya bukan sekadar menaikkan Anwar sebagai PM10 atau PH menjadi kerajaan. Gambaran besar saya adalah untuk Malaysia tidak bertoleransi terhadap korupsi, barah yang menyakitkan negara kita berdasawarsa. Kebanyakan rakyat, termasuk mereka yang mengundi Perikatan Nasional (PN), mengundi untuk kerajaan yang bersih kerana kita membenci korupsi di setiap peringkat dalam masyarakat kita.

Dengan melantik Zahid atau mereka yang sedang dibicarakan atas pertuduhan rasuah ke dalam Kabinet, Anwar akan menghantar mesej yang jelas kepada dunia bahawa korupsi boleh ditoleransi jika “maslahah lebih besar” dapat dicapai. Jika demikian kita tidak mengundi untuk perubahan sistemik tetapi hanya untuk perubahan PM atau kerajaan sahaja. Kita sedang menuju kesesatan sebagai sebuah negara.

Benar, seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan. Maka biarkan Mahkamah membuktikannya dan jika mereka tidak bersalah, rombak semula Kabinet dan masukkan mereka. Kita tidak kekurangan bakat ahli-ahli Parlimen dan kita tidak akan sengsara tanpa sumbangan mereka sementara menunggu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Peranan masyarakat sivil dan aktivis dalam negara adalah untuk menjadi suara nurani bagi kebenaran. Kami akan terus bersuara terhadap apa yang diterima sebagai adil, inklusif, baik dan rasional supaya kuasa akan terus diperingatkan tentang tanggungjawab mereka terhadap kita. Untuk membungkam atau memaki masyarakat sivil yang bimbang hanya akan mendorong kita kepada kejatuhan, yang paling dalam.

Sebagai pertubuhan masyarakat sivil yang bertanggungjawab, Bersih, organisasi yang saya sedang pimpin, bukan sahaja terus konsisten menyuarakan kebimbangan dan pandangan terhadap tatakelola dan proses demokrasi bahkan kami sedar “real politik” dan mengusulkan cadangan alternatif tanpa berkompromi dengan prinsip kami. Dalam kata lain, kami tidak hanya menghentam tetapi turut menawarkan penyelesaian yang membumi.

Untuk Anwar mencapai kestabilan politik bagi kerajaannya, kami mencadangkan supaya beliau menandangtangani Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) dengan kedua-dua rakan gabungan dan Pembangkang serta mereformasi Parlimen untuk memberi ruang Backbenchers dan Pembangkang memainkan peranan semak dan imbang yang berkesan. Kami juga telah mengeluarkan beberapa kenyataan sejak Hari Pengundian pada 19 November yang menawarkan penyelesaian dan panduan untuk proses pembentukan kerajaan. Semua ini diekstrak daripada kajian kami selama dua tahun dan boleh ditemui di dalam buku baru kami “Making Democracy Work”.

Dengan PRU15, kita mempunyai peluang emas untuk membina semula Malaysia. Jangan rugikannya dengan berkompromi dengan prinsip-prinsip penting yang kita lawan bertahun-tahun lamanya. Prinsip yang membezakan antara kita dan cara lama mentadbir. Rasuah adalah barah dan semua orang dalam negara ini seiring dalam hal ini. Marilah kita menghantar mesej yang jelas bahawa Malaysia sedang bangkit dan kita tidak akan bertoleransi dengan korupsi atau sang koruptor.

* Thomas Fann ialah Pengerusi kumpulan reformasi yang pro-demokrasi, Bersih

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!