'Kena hormat keputusan parti' - Mohamad Sabu

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

ROMPIN - Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mengakui ada mendengar rungutan mengenai keputusan supaya calon Pakatan Harapan (PH) memberi laluan kepada calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kota Raja itu mengingatkan semua ahli parti mematuhi keputusan dibuat komponen PH demi kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional.

"Rungutan ini perkara biasa, tetapi Insya-ALLAH kita teruskan sebab ini adalah keputusan parti.

"Bila ada keputusan parti semua ahli kena patuh. Kalau ada yang tidak berpuas hati, itu adalah sementara namun akhirnya mereka akan patuh bersama," katanya ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya ceramah umum sempena kempen PRU di parkir kereta Pasar Besar Rompin pada malam Rabu.

Mohamad (dua dari kiri) bersama Amirudin (kiri), Wan Rosdy (tiga dari kiri) dan calon BN, Mohd Johari pada ceramah kempen PRU Tioman di Pasar Besar Rompin pada malam Rabu.
Mohamad (dua dari kiri) bersama Amirudin (kiri), Wan Rosdy (tiga dari kiri) dan calon BN, Mohd Johari pada ceramah kempen PRU Tioman di Pasar Besar Rompin pada malam Rabu.

Ceramah julung kali diadakan itu dihadiri Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari dan bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali termasuk kepimpinan daripada PH serta BN.

Pada Selasa, Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli memaklumkan PH mengambil keputusan memberi laluan kepada calon BN, Mohd Johari Hussain dalam pemilihan PRU DUN Tioman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRU15 bagi DUN Tioman yang ditangguhkan susulan kematian calon PN, Allahyarham Md Yunus Ramli pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu, diadakan pada 7 Disember ini.

Artikel Berkaitan:

Calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly mencabar calon BN, Mohd Johari dan tiga lagi calon iaitu Nor Idayu Hashim (Perikatan Nasional), Oman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Mengulas lanjut mengenai isu memberi laluan, Mohamad berkata, keputusan itu sebenarnya bergantung kepada perkembangan semasa dan pada PRU kali ini PH membuat keputusan berkenaan serta semua perlu menerimanya.

"Pada PRU lain kita akan lihat perkembangan dari semasa ke semasa. Kejayaan Insya-ALLAH berpihak kepada BN kerana penyokong kedua-dua parti (BN dan PH) sudah bercampur dan ini memberi peluang cerah untuk dimenangi BN," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!