Rodrygo isi tempat Neymar
KETIADAAN Neymar yang mengalami kecederaan tidak menjejaskan rentak Brazil menjelang aksi terakhir Kumpulan G Piala Dunia Qatar 2022 menentang Cameroon awal pagi Sabtu.
Bintang meningkat naik, Rodrygo memiliki pakej lengkap sebagai pengganti kerana dia boleh beraksi di sebelah kiri, kanan, sebagai pemain nombor 10, malah boleh menyarung jersi nombor sembilan.
Selepas aksi padu pada babak kedua ketika menentang Switzerland Isnin lalu, dia tampak bakal mengisi kesebelasan utama buat kali pertama, malah mungkin mengambil alih posisi Neymar.
Casemiro percaya pemain Real Madrid itu mempunyai bakat untuk menjadi bintang hebat Brazil pada masa depan.
“Tuhan memberikannya bakat bermain bola sepak. Sangat menarik melihat dia beraksi,” kata pemain tengah Manchester United itu yang biasa beraksi bersama Rodrygo di Madrid.
Rodyrgo yang dimasukkan sebagai pemain gantian menjadi perancang jaringan kemenangan lewat Casemiro ketika mereka menewaskan Switzerland 1-0.
Jurulatih Tite mungkin melakukan rombakan ketika Neymar belum pulih daripada kecederaan dialami pada aksi pertama mereka.
Selain Rodyrgo, Brazil mempunyai barisan pemain berkaliber lain termasuk Raphinha, Antony, Vinicius Junior, Gabriel Jesus, Gabriel Martinelli, Pedro dan Richarlison.
Mereka menjadi pencabar kepada kepada Rodrygo, namun pemain termuda dalam skuad Piala Dunia Tite itu mempunyai satu kelebihan besar berbanding pemain lain.
“Dia seperti chameleon, boleh beraksi nombor sembilan, 10, 'Neymar' Real Madrid, mampu beraksi di sebelah kiri atau kanan,” ujar Matheus Bachi, penolong jurulatih Brazil yang juga anak Tite.
Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti turut memuji Rodyrgo yang menganggapnya sebagai pemain versatil.
“Dia penyerang istimewa, boleh beraksi di pelbagai posisi, pantas, bijak dan berkesan ketika satu lawan satu,” katanya.
Brazil sudah menempah slot ke pusingan kalah mati selepas memulakan langkah kanan pada aksi pertama kumpulan menundukkan Serbia 2-0 pada 25 November lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!