Bola Piala Dunia Qatar perlu dicas sebelum sepak mula
[DIKEMAS KINI] TEKNOLOGI berkembang dengan begitu pantas dan penggunaannya memudahkan urusan harian dalam pelbagai lapangan kehidupan termasuk sukan.
Maka tidak hairan apabila berlangsung temasya besar seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia 2022 yang ketika ini hangat di serata pelosok muka bumi, teknologi menjadi bualan utama selain bahang di gelanggang.
Bagi edisi Qatar, kemajuan teknologi baharu diperkenalkan bagi menjadikan sukan berprestij, moden dan canggih selain keputusan lebih baik di padang.
Justeru, ia mendorong badan induk bola sepak dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Adidas, penaja rasmi bola kejohanan memperkenalkan bola sepak berteknologi tinggi dikenali Al Rihla.
Bola itu berisi penderia atau 'sensor' seberat 14 gram di dalamnya yang membolehkan ia dijejak dalam masa nyata serta titik pin lokasi tepat pada bila-bila masa sepanjang permainan.
Ia membolehkan lokasi bola dikenal pasti setepat mungkin untuk menilai gol dan ofsaid selain beberapa aspek lain dalam permainan itu.
Penderia juga terbukti sebagai alat yang berguna dan penting untuk disambungkan ke sistem video bantuan pengadil atau VAR.
Teknologi tersebut mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat mengapa bola Piala Dunia perlu dicas sebelum perlawanan.
Teka-teki itu terjawab kerana disebabkan penderia di dalamnya hanya menggunakan bateri kecil dan mampu bertahan kira-kira enam jam penggunaan aktif.
Penderia kecil itu dibangun dan dikilang oleh Kinexon, syarikat perisian berpangkalan di Munich.
Pengasas bersamanya Maximilian Schmidt menjelaskan cara ia berfungsi, malah mengatakan pada bila-bila masa bola terkena impak sistem pada kadar 50 frame sesaat.
Beliau berkata, data dihantar dalam masa nyata dari penderia kepada sistem penentu kedudukan (LPS).
Katanya, penyaluran data itu membabitkan penyediaan antena rangkaian yang dipasang di sekitar medan permainan yang mengambil dan menyimpan data untuk digunakan segera.
“Apabila bola keluar dari kawasan semasa permainan dan bola baru dibaling atau ditendang masuk untuk menggantikannya, sistem 'backend' Kinexon secara automatik beralih kepada input data bola baharu tanpa memerlukan bantuan manusia,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!