Bapa parah, bayi hilang dibaham buaya

Pencarian seorang lagi mangsa di perairan Markas Operasi PPM sedang dilakukan di Lahad Datu.
Pencarian seorang lagi mangsa di perairan Markas Operasi PPM sedang dilakukan di Lahad Datu.
A
A
A

LAHAD DATU - [DIKEMAS KINI] Seorang bapa cedera parah manakala bayi lelakinya dilaporkan hilang selepas dibaham buaya dalam kejadian di perairan Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin (PPM) di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, seorang lelaki berusia 40-an luka di bahagian kepala dan badan manakala anaknya yang berusia satu tahun lebih dibaham serta dilarikan oleh haiwan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, kejadian dilaporkan pada jam 10.25 pagi dan seramai enam anggota dikejar ke lokasi kejadian.

"Menurut saksi, ketika kejadian dua mangsa terlibat disambar buaya ketika yang sedang menjalankan aktiviti mendayung perahu di kawasan perairan berkenaan.

"Seorang mangsa lelaki berjaya diselamatkan oleh orang awam manakala anaknya belum ditemui sehingga kini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, mangsa yang diselamatkan segera dihantar ke Hospital Lahad Datu dengan menggunakan ambulans.

"Mangsa cedera di bahagian kepala dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Usaha mencari bayi berkenaan sedang dilakukan dengan kaedah pencarian di permukaan atas air bersama PPM dengan menggunakan bot di kawasan mangsa dilaporkan dibaham buaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!