NU Ideaktiv, EML meterai MoU kuasai segmen pengiklanan PKS
SHAH ALAM - NU Ideaktiv Sdn Bhd (NU Ideaktiv) dan Enrichment Media Lab (EML) pada Khamis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menyediakan segmen pengiklanan media bagi memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ketua Pegawai Eksekutif NU Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim berkata, menerusi kerjasama itu, EML akan bertindak sebagai rakan pakar media yang memberikan perkhidmatan dan perundingan untuk pakej pemasaran serta pengiklanan eksklusif bagi segmen PKS.
Menurutnya, pengiklanan itu melibatkan industri kecantikan, kesihatan, makanan dan minuman, pakaian, perabot, pendidikan serta bimbingan.
“Agensi media itu berpengalaman dalam pelaksanaan projek skala besar dan sederhana, banyak kerjasama yang telah dijalinkan dengan jenama terkenal dalam perniagaan PKS.
“Melihat kepakaran EML dalam segmen industri pengiklanan dan pengetahuan mereka terhadap strategi pemasaran PKS, ini satu peluang dan kelebihan bagi Nu Ideaktiv berkolaborasi untuk menguasai segmen pengiklanan media PKS,” katanya ketika berucap pada majlis Menandatangani MoU antara NU Ideaktiv dan EML pada Khamis.
Justeru ujar Syamil Fahim, kerjasama itu juga bertujuan membantu perniagaan dan pengasas jenama untuk berkembang menerusi hebahan media meluas, pelaksanaan acara dan promosi rentas platform yang dimiliki NU Ideaktiv seperti digital dan program televisyen.
“Antara kerjasama awal kami adalah penerbitan rancangan televisyen, perjalanan keibubapaan pengasas syarikat produk kecantikan tempatan, Noir Health & Beauty Sdn Bhd, Eriyca Baiduri Abd Rashid menerusi PA&MA: Diari Madammu.
“Selain itu, rancangan Impinan Makeover Ruang Selebriti yang dihiasi Ella Furniture yang mana kedua-duanya bakal bersiaran di Astro awal tahun hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan EML, Muhamad Ashraf DM Tej Nasir berkata, pihaknya akan memperhalusi dan meneliti setiap harta intelek (IP) di bawah NU Ideaktiv.
“Kita akan lihat kelebihan dan cabaran yang ada untuk bantu melonjakkan jenama dan pasaran PKS.
“NU Ideaktiv mempunyai idea yang hebat, tetapi dari segi PKS pula, mereka memerlukan pendekatan atau pengiklanan dengan cara yang berbeza kerana perniagaan dalam dunia maya ketika ini sangat kompetitif.
“Jadi kami berperanan menghubungkaitkan kelebihan IP NU Ideaktiv dan keperluan PKS untuk menjalinkan satu kolaborasi dari segi pengiklanan dan penjenamaan,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!